Penyanyi lagu Berdiri Bulu Romaku, Baby Shima, memulakan langkah awal untuk menyaman dua individu berkaitan PAS, termasuk seorang bekas peserta realiti televisyen, PU Syed.
Seorang lagi yang dinamakan oleh artis terbabit ialah Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat Noor.
Peguam mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi berkata dia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kedua-dua individu terbabit masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Peguam itu berkata, ia difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicous falsehood).
“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas kausa kepada individu-individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut Noor Azfar, pihak Baby Shima tidak berhasrat untuk memberi komen lebih lanjut buat masa ini.
Langkah itu, katanya, diambil sebagai menghormati proses mahkamah serta pihak yang dinamakan belum menerima kertas-kertas kausa yang difailkan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli dituduh "menjual agama" selepas namanya diumumkan sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada hari sambutan Israk dan Mikraj.
Baby Shima antara lain didakwa bakal hadir untuk bergelek dengan lagu dangdut.
Dapat arahan lanjut
Susulan itu, Ahli Parlimen Kuantan dari PAS, Wan Razali Wan Nor, mendakwa pihaknya menghantar surat bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya Kuantan agar menghentikan pembabitan Baby Shima.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Abdul Rosli Jabar, pula berkata sebagai Adun Tanjung Lumpur dia tidak rela MBK membenarkan persembahan membabitkan Baby Shima yang dianggap tidak mengikut garis-garis panduan Islam.
Sementara itu Abd Rahman mendakwa penyanyi dan pelakon terbabit "menjual agama" kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.
Wan Razali - yang sebelum ini menarik perhatian ramai kerana membangkitkan isu pakaian jururawat - kemudian tampil memohon maaf secara terbuka kepada Baby Shima.
PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula didakwa memfitnah Baby Shima dengan menuduh artis berkenaan tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.
Kata PU Syed, Baby Shima boleh terjerumus menjadi golongan Ruwaibidhah.
Noor Azfar berkata pihaknya turut menerima arahan untuk mengambil tindakan lanjut dalam masa terdekat terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang terlibat menyalahgunakan nama guam mereka bagi tujuan komersial.
“Anak guam kami merizabkan haknya untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.