Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Geely tambah lagi pelaburan RM45.3 bilion -Anwar


SEKINCHAN: Syarikat automotif China, Geely menyatakan komitmen untuk melabur tambahan sebanyak AS$10 bilion (RM45.3 bilion) di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaburan tambahan itu sebagai komitmen Geely untuk terus membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Katanya, hasrat Geely itu dinyatakan menerusi surat sepanjang 10 halaman yang disampaikan kepadanya malam tadi, dan berpotensi melonjakkan ekonomi dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


"Syarikat Geely, yang buat kerjasama dengan Proton, mereka tulis surat kepada saya sepanjang 10 halaman. Beritahu mereka nak teruskan rancangan menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil yang terbesar di rantau ini.

"Mereka akan mula dengan pelaburan AS$10 bilion. Maknanya sekitar RM40 bilion. Untuk apa? Untuk saya ambil komisyen? Untuk saya terima hadiah? Atau untuk jamin ekonomi kita naik dan ribuan anak-anak kita mendapat kerja? katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Perdana Menteri membidas tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang cuba mengambil kredit, susulan keputusan jutawan Elon Musk yang bersetuju melabur besar-besaran di Malaysia dengan menjadikan negara ini sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini.

Menurut Anwar, ada 'menteri lalu' yang cuba mengambil kredit kerana kononnya mereka telah mengadakan pertemuan dengan wakil Tesla Inc di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

"Menteri-menteri dulu (kata) "kami dah jumpa Elon Musk tiga tahun lalu". Ya la, kamu jumpa tapi dia tak datang. Kamu jumpa, kamu pujuk, kamu bagi insentif. Dia tak jawab. Dia kata saya akan pertimbangkan.

"Tapi bila ada Kerajaan Perpaduan ini, dia tengok kuat. Dia yang minta telefon dengan saya minggu lalu menerusi persidangan video," katanya.

Pada 14 Julai lalu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi Twitter berkongsi semula hantarannya melawat fasiliti SpaceX milik Musk di Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mei 2022.

Perkongsian semula itu susulan pertemuan Anwar bersama Musk secara maya pada hari sama untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

Dalam pertemuan itu, Musk antara lain bersetuju untuk menubuhkan ibu pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman bagi jenama kenderaan elektrik (EV) Tesla di Cyberjaya, sekali gus bakal memacu ekosistem EV negara.