DALAM kehangatan suasana menjelang enam pilihan raya negeri (PRN), ramai yang membicarakan tentang ‘gelombang hijau’ Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan mampu memberi tentangan sengit kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Gelombang hijau yang datang dari luar lebih mudah dikekang, lebih-lebih lagi beberapa pemimpin tertinggi PN sendiri berdepan isu integriti sekali gus mencemarkan slogan Bersih dan Stabil yang dibawa mereka.
Namun, ada satu lagi gelombang yang datang dari dalam BN dan kesannya terhadap sokongan pengundi terutamanya daripada akar umbi UMNO hanya dapat dilihat pada hari mengundi 12 Ogos nanti.
Mungkin ramai pemimpin UMNO buat-buat tidak tahu dengan ‘gelombang Bossku’ yang dicetuskan oleh ahli-ahli parti yang bersimpati terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mereka telah melihat riaknya di Dewan Merdeka semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023 lebih sebulan lalu di mana para perwakilan secara terang-terangan menyatakan solidariti mereka dalam usaha membebaskan Najib daripada hukuman penjara.
Jika pemimpin-pemimpin UMNO menyangka riak yang berkocak itu kini tenang, tanggapan mereka tersasar sama sekali.
Sebelum ini, ahli-ahli UMNO menyatakan mereka agak keberatan mahu membantu kempen calon PH yang bertanding di kawasan mereka sekiranya mereka tidak melihat usaha yang serius untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib.
Kini, sebulan menjelang PRN, kekecewaan mereka semakin memuncak dan ahli-ahli akar umbi UMNO menyatakan mereka sanggup mengundi calon parti lawan bagi memberi isyarat protes kepada Kerajaan Perpaduan.
Peringatan juga telah diberikan oleh anak lelaki Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin.
Andainya gelombang Bossku gagal diredakan, UMNO bakal berdepan masalah besar di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya.
Sebahagian besar tempoh kempen selama dua minggu yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memperkenalkan calon-calon kepada pengundi terpaksa digunakan untuk meyakinkan akar umbi supaya terus memberi sokongan kepada BN.
Sudah tentu usaha itu amat sukar dilakukan selagi penyokong Najib tidak melihat sebarang perkembangan positif dalam proses mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas Presiden UMNO berkenaan.
Ditambah pula dengan isu kenaikan kos sara hidup yang amat menekan rakyat akibat prestasi ekonomi negara yang sangat kurang memberangsangkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jentera UMNO terpaksa berhempas-pulas meyakinkan pengundi termasuk ahli-ahli parti sendiri untuk memberi sokongan kepada calon-calon BN dan PH agar Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu selepas PRN.
Sebaliknya, parti-parti PH khususnya DAP tidak gusar dengan gelombang Bossku kerana mereka dilihat dalam keadaan yang selesa untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang.
Justeru, pucuk pimpinan UMNO perlu bertindak lebih berani dalam memperjuangkan nasib Najib bagi mengelakkan gelombang Bossku bertukar menjadi tsunami yang boleh menghanyutkan parti.