Hina Sultan Selangor: Sanusi utus surat ke Istana dakwa kononnya ucapan diputar belit
Labels:
Politik
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), berkata beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.
Beliau mendakwa ucapannya diputar belit Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Saya sudah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang sengaja diputar belit itu.
"Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu," katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, awal pagi tadi.
Tambahnya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor sudah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah itu, semalam.
"Bagaimanapun, warkah berkenaan tidak elok molek untuk dimuat naik bagi memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana," katanya.
Muhammad Sanusi turut mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan siasatan terhadapnya.
"Berkaitan itu juga, saya sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat PDRM dari Bukit Aman pada jam 2 pagi semalam untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain.
"Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih supaya terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu," katanya.
Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja.