Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu kenyataan Sanusi masih belum selesai -Sultan Selangor


PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa menghina baginda belum selesai.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Selangor Royal Office selepas Sultan Sharafuddin Idris berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Kata kenyataan itu, pertemuan secara berasingan ini telah membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.


“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” kata Selangor Royal Office menerusi satu kenyataan di akaun Facebook.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tindakan itu menyebabkan Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri tersebut segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor berhubung pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar.

Sebaliknya beliau memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan itu yang didakwa memperlekehkan Baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau mengutuskan surat kepada Sultan Sharafuddin Idris untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang didakwa sengaja diputar belit itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor. – UTUSAN