Kuala Lumpur, 11 Jun 2023 - Dalam satu kejadian berlaku akhir Jun lalu yang disifatkan sebagai “permulaan” kepada penjajahan haram China, Filipina mendedahkan lebih 50 kapal tentera China menceroboh perairan kaya sumbernya di wilayah Palawan.
Penasihat keselamatan maritim pengawal pantai Filipina, PC Commodore Jay Tarriela berkata kapal-kapal China itu dikesan di Del Pilar (Iroquios) Reef dan Escoda (Sabina) Shoal.
“Satu-satunya analisis yang kami boleh beri adalah tujuan kehadiran tentera laut China adalah mengepung kawasan perairan itu dan menjajahnya,” kata Tarriela.
Menurutnya lagi, situasi itu “sangat membimbangkan” dan mewujudkan “ancaman keselamatan” kepada kedaulatan Filipina.
Tiga kapal pengawal pantai dan dua kapal tangki tentera laut China turut dikesan dikawasan itu yang merupakan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Filipina.
Tentera Filipina kemudiannya memutuskan untuk mendedahkan perkara itu kepada umum kerana China sangat bimbangkan reputasinya di peringkat antarabangsa.
“Ini jadi alat untuk kita memastikan tindakan agresif dan membuli China di Laut Filipina Barat akan dikecam masyarakat antarabangsa,” katanya.
Ini bukan kali pertama jumlah besar kapal tentera China menceroboh perairan Filipina. Pada Februari lepas, lebih 30 kapal tentera turut dikesan di Escoda, tetapi ia keluar daripada perairan Filipina selepas bantahan diplomatik dibuat.
Untuk rekod, China menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan -kawasan yang dianggarkan mempunyai simpanan minyak hampir 11 bilion tong dan 190 trilion kaki persegi gas asli- bermula sejak 1970-an lagi, mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Walaupun Mahkamah Timbang Tara The Hague pada 2016 menolak hampir kesemua tuntutan China ke atas Laut China Selatan, negara itu terus berdegil dalam meneruskan pencerobohan di beberapa kawasan strategik ZEE negara lain termasuk di tapak projek penerokaan gas asli, Kasawari, yang sedang dibangunkan Petronas terletak hampir 200 km dari pesisir pantai Sarawak.
Disunting dari: StraitsTimes