PETALING JAYA – Setelah sekian lama membisu membiarkan pelanggan tertunggu-tunggu, Maxis kini telah bersetuju untuk memberikan akses 5G kepada pelanggan mereka dengan menandatangi perjanjian bersama Digital Nasional Berhad (DNB).
Sebelum ini Maxis merupakan satu-satunya telko yang enggan melanggan sepktrum 5G DNB sehingga menyebabkan penggunanya tidak mempunyai akses 5G.
Pengumuman Maxis ini agak mengejutkan kerana sebelum ini telko ini dikatakan kuat melobi untuk kerajaan mewujudkan entiti kedua bagi pemborong rangkaian 5G.
Ini menyebabkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengumumkan dasar 5G negara daripada Pemborong Tunggal Rangkaian (SWN) 5G kepada Dwi rangkaian Borong 5G. Dasar baharu dua entiti pemborong rangkaian ini akan mula efektif mulai Januari 2024.
Maxis Broadband Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Maxis Bhd diberi mandat untuk melaksanakan dan menandatangani perjanjian itu.
Ini akan memberikan akses kepada produk dan perkhidmatan 5G oleh DNB. Produk dan servis itu akan dibekalkan secara pukal dan boleh digunapakai untuk semua pengguna sedia ada dan baharu Maxis.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis akan mendapatkan persetujuan untuk memeterai perjanjian dengan DNB dari pemegang saham mereka. Mesyuarat Agung luar biasa akan diadakan pada suku ketiga tahun ini bagi mendapatkan persetujuan tersebut.
RHB Investment Bank telah dilantik sebagai penasihat utama urus niaga yang akan dicadangkan itu.
Maxis merupakan syarikat telekomunikasi terakhir yang bersetuju untuk melaksanakan usahasama liputan 5G Bersama DNB.
Kesemua syarikat telekomunikasi mudah alih lain seperti Telekom Malaysia Bhd, CelcomDigi Bhd, YTL Communications Bhd dan U Mobile Bhd telahpun memberikan persetujan mereka untuk berkerjasama dengan DNB seawall suku pertama tahun ini.
“Rasionalisasi dan manfaat dari urus niaga yang dicadangkan ini adalah satu komitmen dari kami untuk merealisasikan visi pendigitalan dan menambah baik liputan rangkaian kami” kata Maxis.
“DNB merupakan satu pihak neutral yang menjalankan pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia buat masa ini. Oleh itu, penyertaan kami ke dalam perjanjian akses ini akan membolehkan maxis menawarkan servis 5G kepada pelanggan kami,” jelas mereka.
Kos pelaksanaan 5G
Makluman kepada Bursa Malaysia pada hari ini menyatakan bahawa kos yang akan dibayar Maxis ke DNB akan ditentukan kemudian dan akan tertakluk kepada semakan berkala yang akan dilakukan oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan juga semakan dari DNB.
Namun begitu, Maxis menjangkakan kos operasi 5G untuk seluruh negara secara pukal ini akan mencecah RM360 juta setahun.
Pada 2 November 2022, Maxis telah mendapatkan persetujuan dari pemegang saham mereka untuk menyertai perjanjian akses bersama DNB.
Tetapi mereka telah menangguhkan permohonan itu ke 20 Januari 2023 sehingga pihak kerajaan perpaduan selesai memuktamadkan polisi pelaksanaan rangkaian terbaru.
DNB merupakan syarikat yang telah dilantik kerajaan pada 31 Mei 2021 sebagai pembekal rangkaian secara pukal tunggal yang akan membangunkan infrastruktur dan rangkain 5G diseluruh negara.
Pada 3 Mei 2023, kerajaan telah memutuskan agar pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan oleh DNB sehingga mereka mencapai liputan sebanyak 80% seluruh Malaysia pada akhir 2023 dalam fasa pelancaran awal.
Setelah tamat fasa pelancaran awal ini, model ini akan diubah ke satu model dwi-rangkaian dimana rangkaian 5G kedua akan dibangunkan oleh satu entiti baru (entity B) yang akan ditubuhkan kelak.
Persoalannya, apakah model dwirangkaian 5G masih relevan dengan keputusan terkini Maxis? Siapakah yang bakal menggarap keuntungan dari operasi entiti B?
Apakah yang akan terjadi kepada DNB, syarikat telekomunikasi serta pengguna yang mendapat manfaat dari DNB?
Pelbagai persoalan masih membelenggu pelaksanaan 5G di Malaysia – dan selagi Kerajaan dan syarikat telekomunikasi tidak dapat mencapai kata sepakat, rakyat lah yang terpaksa menanggung bebannya.
disunting dari: FMT