Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib wajar dibebaskan susulan pengakuan Hakim Sequerah -Lim


KUALA LUMPUR – Pengakuan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah yang pernah menjadi rakan kongsi bersama Jasmine Loo yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di sebuah firma guaman sesuatu yang mengejutkan.

Menurut aktivis sosial, Lim Sian See, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya dibebas dan dilepaskan berikutan pendedahan Sequerah yang merupakan hakim bagi perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Tegas beliau, tidak adil bagi Najib untuk melalui lagi perbicaraan yang panjang selepas Sequerah membuat pengakuan.


“Hakim hanya dedah konflik kepentingan dia hari ini selepas perbicaraan kes 1MDB-Tanore berlangsung lima tahun.

“Jasmine Loo merupakan watak terpenting kes 1MDB dan nama serta peranannya telah disebut banyak kali dalam perbicaraan ini tapi hakim tak pernah umum hubungannya.

“Hakim patut bebas dan lepaskan Najib dari kes ini sekarang dengan keputusan mistrial sebab ianya tidak adil untuk Najib melalui lagi 5 tahun perbicaraan bawah hakim lain,” kata Sian See dalam satu kenyataan.

Sequerah hari ini mengakui beliau pernah menjadi rakan kongsi bersama dengan Jasmine di sebuah firma guaman.

Hakim itu bagaimanapun berkata, Jasmine meninggalkan firma guaman Zain & Co antara 10 hingga 15 tahun lalu.

Ini adalah semasa Sequerah masih menjadi seorang peguam dan sebelum dia dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman.

Sequerah membuat pendedahan itu semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib petang ini.

Beliau membuat pengakuan selepas peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal pasukan pendakwaan sama ada akan memanggil Jasmine untuk memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Jasmine menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia awal bulan ini selepas melarikan diri keluar negara selama bertahun-tahun.

Beliau dikatakan antara rakan subahat Low Taek Jho atau Jho Low yang merupakan dalang utama skandal kewangan 1MDB.

Tahun lalu, Bloomberg melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Jasmine dan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee.

Kedua-dua mereka dikehendaki berkaitan pemindahan AS$700 juta (RM3.3 bilion) yang didakwa dilakukan secara haram.

Menurut laporan itu, Jasmine dan Casey disiasat berhubung dakwaan rasuah, salah laku pejabat awam, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah.- MalaysiaGazette