Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Objek dipercayai bahan letupan ditemui bawah kereta Siti Kassim


KUALA LUMPUR: Satu objek mencurigakan disyaki bahan letupan ditemui di bahagian bawah kereta milik peguam, Siti Kassim, tengah hari ini.

Bahan itu ditemui ketika peguam terbabit menghantar kereta jenis Toyota Celica miliknya untuk diselenggara di pusat servis dekat Jalan Maarof, di sini.


Objek mencurigakan itu dikesan seorang mekanik selepas kereta berkenaan diangkat oleh mesin sebelum ditemui di tayar belakang.

Ketika ini polis menutup sebahagian laluan berhampiran, selain Unit Pemusnah Bom (UPB) sedang melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain, sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut dari peguam Siti Kassim.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain, sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut dari peguam Siti Kassim.

Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kassim, berkata dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada jam 12 tengahari tadi.

"Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta dan ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.




Botol mineral dipercayai mengandungi bahan letupan di bahagian tayar kereta milik Siti Kassim

Skuad pemusnah bom PDRM tiba di lokasi kejadian


"Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom," katanya.

Siti Kasim berkata, dia menghantar kenderaannya itu untuk diselenggara kerana mahu ke Kelantan bagi menyelesaikan isu orang asli di sana.

"Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan dan bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya, saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.

"Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sementara itu di lokasi kejadian, polis menutup pusat servis berkenaan dengan kawalan ketat, selain memasang pita kuning sepanjang 100 meter di kawasan berhampiran pusat servis.

Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memeriksa kereta Toyota Celica milik peguam berkenaan.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.