RAUB: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat telah melakukan serbuan di satu kawasan yang telah dijalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di atas tanah kerajaan di Raub, pada Rabu.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, anggota UPNP Zon Pahang Barat telah melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang.
"Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan pun di negeri ini." ujar Wan Rosdy.
"Malah, saya juga telah meminta UPNP untuk meneruskan operasi penguatkuasaan setiap masa bagi memastikan aktiviti sebegini dapat dibanteras dengan sebaik-baiknya.
Dalam kejadian pada Rabu setibanya anggota UPNP di Sungai Rambai, mereka mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan tersebut.
Anggota operasi telah bertindak menahan jengkaut tersebut, namun pemandu jengkaut itu melarikan diri terlebih dahulu setelah menyedari kehadiran anggota UPNP.
Kemudiannya, seorang lelaki telah tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut dan pegawai serbuan telah meminta pemilik jengkaut tersebut memberi dokumen kelulusan atau permit berkenaan aktiviti yang dilakukan namun gagal.
Anggota UPNP kemudiannya bertindak merampas jentera tersebut untuk tujuan siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan.