Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Salahuddin Ayub sah meninggal dunia


ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.


Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," katanya.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Terdahulu, Dr Zaliha berkata, pembedahan yang dilalui oleh Salahuddin semalam berjaya tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pakar dalam ICU.

Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Datin Seri Fatimah Taha bersama enam anak.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal, dalam kenyataannya, berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) dekat Tanjung Piai.

"Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

"Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

"Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas Hospital Sultanah Bahiyah," katanya.