Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sanusi geram akaun TikTok disekat, langgar garis panduan


LANGKAWI: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa akaun TikToknya disekat semalam, sekali gus menuduh tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Untuk rekod pengendali TikTok berhak menyekat atau menyahaktif mana-mana akaun yang telah melanggar garis panduan komuniti. 

Tetapi beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.


"Depa padam TikTok saya. Tak sat (tadi) kita buka, tak dak pi dah (sudah tiada). Kita baru dok (sedang) popular, medan kita nak jawab (isu) habislah.

"TikTok (saya) tak dak dah lah malam ni (sebab) kena padam, (ada) 5.2 juta 'like' habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain, kena cari seorang demi seorang, lambat.

"Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya," katanya dalam satu ceramah di Baling, malam tadi yang disiarkan menerusi video dimuat naik pengguna TikTok yang kemudiannya tular hari ini.

Dalam video sama, Muhammad Sanusi mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok disekat.

"(Minta) pulangkan juga TikTok rakan-rakan yang telah di 'ban' (sekat) beberapa hari lepas contohnya, TikTok milik Sir Azri kena (sekat) hari ini (semalam).

"Medan kita nak jawab habis la, (sebab) kita tak boleh masuk TV dan radio, jadi guna TikTok dan Facebook ja, (tapi) Facebook budak-budak tak tengok la (sekarang) ni, hak orang tua," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu seolah-olah Kerajaan Perpaduan yang didukung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan pemerintahan 'kuku besi' bagi menyekat kemaraan parti lawan untuk bersuara menjelang PRN pada 12 Ogos ini.

"Menjelang PRN ini mereka akan guna kuku besi, hanya maklumat daripada mereka sampai kepada orang ramai, (manakala) jawapan balas kita tidak sampai.

"Lepas ini akan datang pelbagai cerita buruk yang tak sempat kita jawab kerana kita kekurangan media," katanya.