Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tiada lagi kompaun, terus heret peneroka haram ke mahkamah -MB Pahang


RAUB - Tiada lagi kompaun akan dikenakan sebaliknya individu yang dikesan terlibat dalam aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang akan terus didakwa di mahkamah.

Itu tindakan tegas yang bakal dikenakan dalam usaha mengekang aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan kompaun yang dikenakan sebelum ini dilihat tidak menakutkan golongan terbabit selain seolah-olah kerajaan negeri tidak serius.


"Saya telah meminta penasihat undang-undang, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai daerah supaya apabila berlaku tangkapan, kompaun tidak dibenarkan.

"Sehubungan itu, saya telah minta penasihat undang-undang membawa mereka ke muka pengadilan.

"Kita dakwa mereka. Biar rakyat nampak. Walau bagaimanapun, saya harap ia dapat dihentikan (penerokaan haram)," kata beliau kepada pemberita di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu

Beliau berkata sedemikian selepas perasmian Karnival Tanah Peringkat Pahang 2023 yang julung kalinya dianjurkan di negeri itu dengan sebanyak RM106 juta cukai tanah berjaya dikutip sempena karnival tersebut.

Ujar Wan Rosdy lagi, kerajaan negeri akan mempertimbangkan jika permohonan dilakukan dengan lengkap dan mengikut peraturan ditetapkan.

"Saya hendak berpesan kepada rakyat negeri ini agar tidak sesekali meneroka tanah secara haram.

"Ini kerana kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pemantauan, intipan dan juga serbuan ke lokasi-lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan ini yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang," jelas Wan Rosdy.

Sementara itu, Wan Rosdy turut memberikan jaminan tiada kenaikan cukai tanah dalam tempoh lima tahun di negeri ini.
"Kenaikan cukai tanah baru-baru ini, dua tiga tahun lalu sebelum ini pun berlaku hanyalah selepas 26 tahun, itu pun kita buat secara berhati-hati supaya tidak bebankan rakyat.

"10 ekar ke bawah tidak terkesan dengan syarat ia dibayar dalam tempoh ditetapkan. Kalau tidak kena bayar denda tak boleh elak, kalau tak, tak adil pada yang lain," ujar beliau.