Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Calon BN DUN Tepuh dah masuk 'gear' empat


KUALA TERENGGANU: "Saya dah masuk 'gear' empat berkempen. Saya hanya tidur kurang tiga jam sehari sejak penamaan calon lagi," kata calon Barisan Nasional (BN), Muhammad Hanafi Hassan, 44.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu membuat penampilan pertamanya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Tepuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Terengganu pada 12 Ogos ini.

Anak kepada bekas calon BN Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999, Datuk Hassan Ali, 75, itu berkata, jadual berkempen begitu padat kerana beliau mahu bertemu mata dengan setiap penduduk.


"Saya mahu bekerja untuk rakyat. Lagipun, ini penampilan pertama saya sebagai calon. Jadi, sudah pasti saya mahu berkhidmat yang terbaik terutama buat penduduk di DUN Tepuh ini.

"Saya sudah biasa dengan situasi sebegini sebab sebelum ini, saya berkempen untuk calon BN yang lain termasuk ayahanda saya.

"Menambah lagi kekuatan saya melihat semua jentera begitu kuat bekerja bagi memastikan kerusi DUN ini dapat dirampas kembali daripada PAS. Saya harap kemenangan berpihak kepada BN pada PRN ini," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi MARA ketika ditemui di sini malam tadi.


Muhammad Hanafi berkata, sumbangan bapanya turut menjadi kelebihan kepadanya ketika berkempen dan ayah beliau banyak memberi tunjuk ajar dalam berpolitik.

"Ketika mula terbabit dengan politik, tidak terlintas untuk menjadi calon. Cuma untuk berkhidmat kepada rakyat, lebih-lebih lagi melihat kerja keras ayah dan rakan dalam parti.

"Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada karakter ayah. Situasi politik semasa tidak sama berbanding dahulu, Jadi selain menyantuni penduduk, kami juga menggunakan pelbagai medium, termasuk media sosial untuk berkempen.

"Saya harap diberi peluang untuk berkhidmat di DUN ini. Saya juga harap BN dapat merampas kembali negeri ini sekali gus manifesto dapat dilaksanakan," katanya

Muhammad Hanafi menentang rakan sekolahannya daripada PAS yang juga penyandang, Hishamuddin Abdul Karim.

Pada PRU ke-14, Hishamuddin menang dengan majoriti 2,717 menewaskan calon BN, Datuk Basir Ismail dan calon PKR Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan.