Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dua ADUN heret MB Kelantan ke mahkamah jika gagal mohon maaf (video)


KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Mohd. Syahbuddin Hasyim dari Galas dan Dr. Hafidzah Mustakim Pakatan Harapan (PH) Kota Lama menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang melabelkan mereka sebagai melawan perjuangan Islam.

Kedua-dua wakil itu turut meminta ADUN Meranti memohon maaf kepada semua pengundi di Galas dan Kota Lama yang telah menyokong BN (10,742) dan PH (9,691) di kawasan berkenaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Mohd. Syahbuddin berkata, kenyataan menentang Pas sama seperti menentang perjuangan Islam adalah budaya takfiri yang boleh memecahbelahkan rakyat dan masyarakat.


“Saya yakin pengundi BN dan PH di Kelantan kekal teguh mempertahan Islam, bangsa dan tanah air tanpa prejudis. Jesteru, saya beri tempoh selama tujuh hari untuk berbuat demikian (permohonan maaf terbuka). 

“Kegagalan Menteri Besar membuat permohonan maaf secara terbuka ini mengundang susulan kepada tindakan undang-undang yakni memfailkan saman sivil di mahkamah. Kita tidak boleh berkompromi dan membiarkan ucapan serta budaya pemecah belah umat berterusan dalam negeri ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin memberitahu, sebagai Menteri Besar beliau sepatutnya mengamalkan pendekatan perpaduan dan penyatuan berbanding membuat tuduhan melulu serta menyemai benih-benih keliru.

Katanya, pada masa sama beliau memohon menteri agama, para mufti dan ulama turut memberikan pandangan berkaitan kenyataan Menteri Besar Kelantan yang baharu dilantik itu sebagai menjunjung demokrasi dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya melihat, Menteri Besar yang bernada sinikal dan angkuh itu wajar dihindari pada masa-masa akan datang. Apa yang dilakukan ini bagi menyahut seruan Mohd Nassuruddin yang mengambil kisah Umar Al Khattab supaya menegur jika beliau tersilap dalam mentadbir negeri.

“Saya kira tuduhan yang dilemparkan beliau (MB) pada saya dan Kota Lama adalah satu kesilapan besar yang wajar ditarik balik. Ternyata tutur katanya amat berbeza dengan Menteri Besar Kelantan sebelum ini Datuk Ahmad Yakob,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Hafidzah menyifatkan kenyataan ADUN Meranti itu sebagai ‘kurafat politik’ dengan memandang serong kepada Galas dan Kota Lama.

Katanya, ini merupakan penyelewengan besar yang perlu ditentang oleh rakyat.

“Tindakan ini menghormati langsung bahawa dalam negara demokrasi rakyat ada pilihan untuk memilih. Kita perlu mengambil tindakan tegas. 

“Kami tidak boleh dipermainkan,  walaupun hanya berdua kami mewakili rakyat melakukan semak dan imbang,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Mohd. Nassaruddin yang baru-baru beberapa hari dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu, di sini.

Ucapan ADUN Meranti itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.

-UTUSAN

video: