Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Filipina tingkat usaha dedah tindakan agresif China di Laut China Selatan




MANILA: Filipina kini meningkatkan usaha untuk memastikan orang ramai di seluruh dunia dapat melihat sendiri apa yang dikatakan tindakan “agresif” oleh kapal-kapal China di Laut China Selatan dalam usaha untuk menekan Beijing mengubah caranya.

Pada tahun ini sahaja Filipina telah mengeluarkan video dan imej yang memaparkan sekurang-kurangnya lapan insiden yang melibatkan kapal China menggunakan pelbagai platform media sosial.


Menurut jurucakap pengawal pantai Filipina Commodore Jay Tarriela, ini jauh berbeza dengan pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte yang hanya mengeluarkan tiga hantaran mengenai konflik LCS itu sepanjang enam tahun.

Pentadbiran Duterte memupuk hubungan yang lebih baik dengan Beijing dengan tidak menekankan keputusan mahkamah antarabangsa 2016 yang mengesahkan tuntutan laut negaranya dan lebih cenderung sekadar menghantar bantahan bertulis.

“Kami menjadi lebih lantang memberitahu dunia bahawa kami perlu mendedahkan tingkah laku buli China,” kata Tarriela dalam temu bual di Manila pada hari Rabu.

Dengan mengikuti taktik itu, Manila berharap “negara seperti AS dan mereka yang berada di Kesatuan Eropah akan bersatu dan beritahu mereka apa yang anda lakukan itu salah, ia adalah haram,” katanya.

Strategi itu menggariskan masa yang perlu ditempuhi Filipina dalam konfrontasi berterusannya dengan China, yang mempunyai tentera laut terbesar dunia dengan bilangan kapal.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan walaupun terdapat bantahan negara lain di rantau itu.

Pada bulan Januari, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. membangkitkan isu itu dengan pemimpin China Xi Jinping semasa lawatan ke Beijing, mendorong kedua-dua pihak mewujudkan pautan untuk diplomat membincangkan isu maritim.

Sebulan kemudian kedua-dua negara kembali bertelagah, kali ini mengenai kapal China yang menyasarkan laser gred tentera ke atas kapal Filipina di Laut China Selatan.

Selepas kejadian itu, Filipina mengeluarkan imej kapal pengawal pantai China yang membidik kapal Filipina menggunakan laser cahaya hijau. 

Peranti itu, yang boleh digunakan untuk membidik senjata, menyebabkan “kebutaan sementara” kepada anak kapal, kata Filipina pada masa itu.

Terdapat beberapa tanda bahawa strategi yang lebih visual boleh mendesak China mengubah tingkah lakunya di laut, kata Tarriela. 

Beliau merujuk kepada kejayaan Filipina mebuat penghantaran bekalan minggu ini ke kapal perang lama yang yang menjadi pos tentera Filipina di Thomas Shoal Kedua, Laut China Selatan.

Bulan lalu China menghalang misi rutin kapal Filipina menghantar bekalan makanan kepada pos tentera tersebut. 

Ini menyebabkan pegawai dari pengawal pantai, tentera dan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina mengadakan taklimat awam yang jarang berlaku untuk memaparkan gambar dan video kapal pengawal pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalannya.

Tindakan China itu kemudiannya dikritik oleh Pentagon, Jepun dan Australia, yang minggu ini mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan Filipina berhampiran Laut China Selatan.

Tarriela berkata kapten kapal China telah mengubah beberapa taktik mereka sejak Filipina meningkatkan pengeluaran videonya. 

Mereka kini mengekori kapal-kapal Manila dari jarak yang lebih jauh daripada sebelumnya dan meninggalkan kawasan selepas menyedari tindakan mereka dirakam.

Selepas Filipina menjalankan misi pembekalan semula, pengawal pantai China berkata ia membuat “pengaturan khas sementara” untuk membolehkannya diteruskan. 

Kementerian Pertahanan China tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas pada hari Khamis.

“Apabila bercakap mengenai hubungan antarabangsa, apa sahaja yang anda publiskan mempunyai kos reputasi untuk China, menyentuh perasaan orang Cina,” kata Tarriela. 

– Bloomberg