Parti Gerakan Rakyat Malaysia membantah sekerasnya-kerasnya pengenalan buku modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Melalui suatu sidang media yang diadakan pada hari Jumaat, Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, parti tersebut bersedia membawa isu ini ke mahkamah sekiranya perlu, demi menegakkan kedaulatan undang-undang negara dan membela hak-hak orang bukan Islam.
Tegas pemimpin Perikatan Nasional itu, ketidakterlibatan murid-murid bukan Islam perlu dinyatakan secara hitam putih kerana perkara ini serius.
Beliau juga mendakwa, buku modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi adalah bertentangan dengan undang-undang negara dan Dasar Pendidikan Negara.
Oh yang bertanding sebagai calon di bawah tiket Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri ke-15 yang lalu mendakwa, pihaknya gusar dengan usaha-usaha Islamisasi melalui pendidikan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia.
Selain mempertikai Jawi, pihaknya turut mempersoal kewajaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang saudara baru di Masjid Ar-Rahimiah, Klang pada baru-baru ini.
"Sebelum ini isu Jawi, sekarang hadis 40 Imam Nawawi, Islamisasi melalui pendidikan ini membimbangkan orang bukan Islam, ditambah lagi dengan PM Anwar mengislamkan seorang India, ini sangat-sangat membimbangkan," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Pelaksanaan modul itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.