KUALA LUMPUR – Kerajaan Jerman tidak akan berkompromi soal keselamatan negara itu, sekali gus tidak mengendahkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung untuk mengalih keluar komponen China daripada rangkaian telekomunikasi 5G negara berkenaan.
South China Morning Post melaporkan, Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser, berkata beliau tidak akan terpengaruh dengan kos tinggi untuk mengalih keluar komponen China daripada rangkaian telekomunikasi 5G negara jika ia demi kepentingan keselamatan negara.
Nancy berkata, harga mahal yang perlu dibayar Jerman untuk menggantikan alat ganti komponen dari pembekal China Huawei Technologies dan ZTE dalam rangkaian Jerman bukanlah alasan.
“Kami (Jerman) akan melarang komponen jika ia menimbulkan risiko keselamatan yang serius,” kata Nancy.
Tegas beliau lagi, pengendali rangkaian perlu bertindak dan membongkar komponen.
Tidak seperti kebanyakan negara Kesatuan Eropah, Jerman pada asalnya mengelak larangan langsung peralatan 5G Huawei di tengah-tengah tekanan Amerika Syarikat untuk memotong penyedia infrastruktur China.
Sebaliknya, kerajaan memutuskan semua komponen yang dianggap “infrastruktur IT kritikal” perlu diperakui oleh pihak berkuasa.
Kementerian Dalam Negeri Jerman sedang menjalankan audit terhadap rangkaian mudah alih 5G negara itu untuk menilai berapa banyak daripadanya terdiri daripada komponen daripada Huawei dan ZTE.
Nancy berkata, walaupun audit belum selesai, risiko mempunyai komponen Cina dalam rangkaian telah “dikenali sejak sekian lama”.
“Perkhidmatan keselamatan kami telah berulang kali memberi amaran terhadap kebergantungan berat sebelah.
“Saya rasa penyedia rangkaian mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan perkara ini,” jelas Nancy.
-SuaraTV