Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Menara KL: Pengarah syarikat gagal batal tuduhan rasuah RM7.5 juta untuk faedah Annuar Musa


KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat hari ini gagal dalam permohonan bantahan awalnya untuk membatalkan tuduhan menawarkan rasuah RM7.5 juta kepada ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, menolak permohonan berkenaan selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49.


"Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 12 September ini bagi penyerahan dokumen, jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan," katanya.

Notis bantahan itu difailkan pada 31 Mei lalu, oleh Tetuan Chetan Jethwani dan Company mewakili Abdul Hamid Shaikh, 49, atas alasan pertuduhan itu tidak berasas dan cacat, selain elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak dinyatakan.

Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh dan Hydroshoppe Sdn Bhd didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Datuk Tan Ser Lay, 60.

Ia bagi faedah Annuar, bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Amer Hamzah Arshad, berkata anak guam berhasrat memohon mendapatkan sementara pasportnya untuk ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

"Anak guam ingin memohon sementara pasportnya untuk menghantar anak ke UK pada 12 September ini bagi melanjutkan pelajaran, selain ada urusan perniagaan di AS pada 1 Oktober ini.

"Jika permohonan untuk mendapatkan pasport dibenarkan, saya mohon kehadiran anak guam dikecualikan pada tarikh sebutan seterusnya," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan pihaknya pada masa ini tidak boleh mengesahkan sama ada membantah atau sebaliknya terhadap permohonan itu.

"Pihak pembelaan perlu memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongan membabitkan pelepasan pasport.

"Sebelum membuat keputusan untuk bantah permohonan itu, kita perlu teliti alasan dan tarikh untuk pelepasan pasport kerana ia membabitkan tempoh agak panjang," katanya.

-BH Online