Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kalah PRN: Dr Akmal sedia letak jawatan jika disebabkan beliau Ketua Pemuda UMNO




KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sedia meletak jawatan jika kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu disebabkan oleh kedudukannya sebagai ketua sayap parti.

Menjelaskan perkara itu di hadapan kira-kira 1,100 kepimpinan Pemuda UMNO dari 191 bahagian, beliau berkata, tindakan itu akan dilakukannya jika majoriti suara daripada sayap itu menyatakan pendirian sedemikian.

"Pemuda UMNO mesti berkata benar walaupun pahit. Jika majoriti yang ada ini (malam ini), membuat keputusan bahawa UMNO ini tidak diterima oleh rakyat kerana Ketua Pemudanya berada di situ, jika itulah keputusan majoriti (malam ini), saya sedia letak jawatan Ketua Pemuda.


"Apa yang lebih penting adalah survival parti. Ini bukan soal saya, Mohd Hairi (Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah), tetapi ini soal parti kita," katanya pada majlis Post Mortem PRN Pemuda UMNO - 'Dimana Salah Kita' di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sesi 'post mortem' yang bermula sejurus selepas ucapan Muhamad Akmal diadakan secara tertutup tanpa liputan media, dengan satu resolusi dijangka akan dikemuka sayap itu kepada pucuk pimpinan UMNO dalam masa terdekat.

Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO mengalami kekalahan teruk pada PRN Sabtu lalu selepas hanya menang di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 DUN yang ditandingi parti itu.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal mengakui ramai pihak panas hati apabila Pemuda UMNO mahu mengadakan majlis terbabit, namun ia tidak wajar menjadi satu bentuk ketakutan atau berasa terancam oleh sayap parti itu.

"Kalau nak ikut diri saya, Sabtu malam (selepas PRN) saya mahu keluarkan kenyataan, tetapi kenyataan dikeluarkan tanpa berbincang dengan Pemuda, saya rasa tak adil tanpa suara kita dalam Pemuda.

"Jadi, hari ini tidak ada lagi takut untuk menyatakan kebenaran, tetapi kena ada abad dan tatasusilanya.

"Ramai panas hati, saya tahu ramai ada idea baik. Kita jadikan malam ini, pendirian Pemuda UMNO. Apabila kenyataan dikeluarkan oleh saya, naib ketua pemuda, ketua pemuda negeri selepas ini, itu bukan lagi kenyataan peribadi," katanya.

Beliau berkata, UMNO harus mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk pada PRN Sabtu lalu dan segera melakukan perubahan yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu.

"Apabila Pemuda bersuara, dikatakan Pemuda masih mentah, Pemuda dimomokkan dengan bayaran. Tugas saya hari ini mendengar suara Pemuda untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan.

"Jika cara kita tak langsung didengar, kita akan lakukan sesuatu. Saya nak bagi jaminan, kita boleh bincang secara baik, ilmiah.. jika tak ada apa-apa yang berlaku, maka baru kita akan bertindak.

"Dia minta Pemuda hormati saluran, maka kita hormati saluran. Kita bagi apa mereka nak, kita ikut secara prosedur.. tetapi saya tak akan teragak bertindak jika suara kita dibakulsampahkan," katanya.

Muhamad Akmal berkata, selain pertemuan malam ini, sayap itu juga akan menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar pandangan dan idea akar umbi lain.

"Saya tak gentar walau ditekan. Saya tidak berganjak walau ditolak. Saya tak pekakkan telinga, saya tak butakan mata. Apa sekalipun, jika kita terus lena dibuai mimpi, satu hari UMNO akan dikuburkan, sebab itu kita tak akan benarkan itu terjadi," katanya.