Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Malaysia negara pertama tolak peta standard baharu China


PETALING JAYA: Malaysia menegaskan ia menolak tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam peta standard baharu negara sosialis itu yang meliputi kawasan maritim negara.

“Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia,” tegas Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan.


Menurut kenyataan itu, negara kekal konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan, dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara ini berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim Malaysia. Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia,” katanya.

Malaysia berpandangan isu Laut China Selatan merupakan isu kompleks dan sensitif yang perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.


Kenyataan itu berkata, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif.

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia komited terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif.

“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya.

Semalam, China dilaporkan pada Isnin mengeluarkan peta standardnya bagi edisi 2023 yang turut meliputi seluruh negeri Arunachal Pradesh, India; wilayah Aksai Chin, Taiwan, dan kawasan di perairan Laut China Selatan yang dituntut pelbagai negara termasuk Malaysia.