ALOR SETAR - Polis Kedah mengesan satu video tular di media sosial berkaitan dakwaan beberapa buah bas yang membawa pengundi hantu bagi pilihan raya negeri (PRN) di daerah Kuala Muda pada Sabtu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar kerana bas itu disewa oleh polis dari Kuala Lumpur dan Kedah untuk membawa petugas polis di sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 34 bas telah itu disewa untuk membawa petugas polis yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kelancaran sepanjang PRN berlangsung di negeri ini.
"Semua bas ini adalah disewakan oleh pihak polis untuk menjadi pengangkutan kepada petugas yang saya kata pagi tadi, kita ada lebih 7,000 petugas yang mana sebahagian besar adalah pasukan-pasukan besar yang datang dari kontinjen luar seluruh negeri (membantu PRN Kedah)," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Sabtu.
Fisol berkata, polis memohon individu yang telah merakamkan video tersebut untuk membuat laporan dengan menyertakan nombor bas yang turut didedahkan beliau pada sidang akhbar berkenaan.
"Saya ingin mengingatkan di sini, tuan-puan bertanggungjawab telah mengeluarkan satu isu yang telah menjadi satu kegusaran, orang ramai tengok ada pengundi hantu di Kedah," ujar beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Fisol berkata, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan penggunaan nama dan kad pengenalan yang telah digunakan sebelum proses membuang undi pada PRN.
Menurutnya, dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim, manakala satu lagi laporan di daerah Kuala Muda.
"Kes pertama melibatkan seorang wanita yang tidak berpuas hati apabila dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa namanya telah ditanda untuk mengundi sehingga menyebabkan dia tidak dapat membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) di Kulim.
"Kes kedua pula di daerah yang sama melibatkan seorang lelaki mendakwa namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi, manakala kes di Kuala Muda melibatkan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan kecuaian yang dilakukan SPR," jelas beliau.
Tambah Fisol, polis juga turut mengesan satu video tular di laman media sosial mengenai kejadian di tempat pengundian di Pendang berhubung rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap petugas SPR yang membantu suaminya seorang kurang upaya (OKU) ketika membuang undi.
"Wanita itu isteri kepada lelaki OKU mendakwa petugas SPR telah menanda undi tidak sepertimana yang dikehendaki suaminya.
"Bagaimanapun, setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian daripada wanita dan petugas SPR yang terlibat," katanya.
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.