Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Australia sokong Filipina pertahan tuntutan maritim bertindih dengan China


KUALA LUMPUR – Australia dan Filipina bersetuju mengenai keperluan untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa mengenai isu keselamatan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata demikian pada Jumaat semasa mengadakan lawatan rasmi ke Filipina, lapor Agensi Anadolu.

“Canberra dan Manila mempunyai tanggungjawab kolektif terhadap keselamatan, termasuk sokongan kepada Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), itu sangat penting,” kata Albanese kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. di Manila.


Sokongan Canberra terhadap Manila adalah berkaitan dengan tuntutan maritim bertindih antara China dan Filipina di Laut China Selatan yang dipertikaikan.

“Australia menyokong… keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016. Itu adalah muktamad dan ia mengikat dan penting untuk dipertahankan pada masa hadapan,” kata Albanese, menurut keterangan yang dikeluarkan oleh pejabat Marcos.

Albanese ialah perdana menteri Australia pertama melawat Filipina sejak 2003 dan kedua-dua pihak sedang meningkatkan hubungan dua hala kepada “perkongsian strategik.”

Tuntutan wilayah di Laut China Selatan tetap diperdebatkan walaupun gesaan untuk mengadakan rundingan dan mengelakkan pelanggaran kedaulatan berulang kali dibuat.

Marcos menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Australia kerana “menyokong Filipina dalam tuntutannya ke atas Laut Filipina Barat dan kerana menggalakkan negara itu untuk kekal teguh melindungi wilayahnya.”

“Terima kasih kepada anda, Perdana Menteri, atas sokongan padu yang anda berikan untuk Filipina,” kata Marcos kepada Albanese.