KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG DAP
1. DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
2. Permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
3. DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
4. Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
5. DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
LOKE SIEW FOOK
SETIAUSAHA AGUNG DAP
5 September 2023