Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kenyataan 3R: Polis buka dua siasatan terhadap Muhyiddin


Polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan yang dikelaurkannya semasa pilihan raya kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram di Johor yang didakwa menyentuh isu mengenai 3R (kaum, agama dan raja).

Laporan Bernama memetik Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai berkata polis akan memanggil pengerusi PN itu untuk merekodkan keterangannya pada 12 September ini.

“Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan beliau (berhubung) ‘fatwa’ dan kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa.


“Jadi ada dua IP dibuka dan kita akan panggil beliau pada 12 Sept untuk ambil keterangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru, hari ini.

Menurut laporan itu, Ayob berkata buat masa ini, tiada kertas siasatan baru dibuka melibatkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu, didakwa mengeluarkan kenyataan ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Johor Bahru.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilapor mengeluarkan kenyataan yang mendakwa parti orang Melayu dilihat sudah hilang kuasa, selain mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

Pada 4 Sept lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mengulas mengenai siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ayob berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Dia turut menasihatkan pemimpin politik serta masyarakat supaya tidak mengeluarkan lagi kenyataan berkaitan 3R termasuk ketika berkempen bagi PRK Pelangai, Pahang, hujung bulan ini.

“Polis sentiasa memantau semua sosial media, kalau ada kita akan buka kertas siasatan tapi nanti bila sudah disiasat, ditahan, didakwa dan dihukum, baru timbul rasa (meminta) simpati dan lain-lain,” katanya.