Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah putuskan Zahid dilepas tanpa dibebaskan


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.


Bagaimanapun, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon supaya Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya 'tergantung' tanpa ada kepastian.

Katanya, oleh kerana pendakwaan sudah memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid, anak guamnya dengan itu hendaklah dibebaskan oleh mahkamah.

Pada 24 Ogos lalu, peguam bela Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, dalam satu kenyataan media, memohon keputusan representasi yang dihantar pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023 disegerakan sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi dalam perbicaraan kes itu.

Permohonan representasi setebal 200 muka surat itu turut dikepilkan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan oleh pembelaan.

Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga dituduh menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Bagi 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.