Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemilik FB 'Iman Mustaqim' kena penjara 6 bulan, denda RM10,000


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang penganggur dikenali 'Iman Mustaqim' atas dua tuduhan termasuk membuat kenyataan bersifat jelik terhadap Sultan Selangor.

Hakim N Priscilla Hemamalini memutuskan hukuman berkenaan selepas Mohamad Azlan Ibrahim, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.


Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara berkuat kuasa hari ini dan tambahan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mohamad Azlan kelihatan tenang, malah sempat membaca al-Quran di galeri awam sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azlan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap sultan melalui Facebook menggunakan profil 'Iman Mustaqim' dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lalu.

Hantaran itu dilihat di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, jam 11.37 pagi keesokannya.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

Tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan, selain boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mohamad Azlan juga didakwa gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi Facebook 'Iman Mustaqim' yang diminta Inspektor Shahrir Mohamad di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 249 dan 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Mohamad Azlan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak bekerja manakala ibunya uzur di kampung.

"Saya juga perlu bawa bapa saudara yang buta ke hospital untuk ambil ubat," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda tinggi.

"Kesalahan dilakukan adalah serius kerana memuat naik hantaran yang bersifat jelik, menyakitkan hati orang dan menghina Sultan Selangor," katanya.