SHAH ALAM: Polis akan memanggil penyanyi rap, Caprice dan wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo bagi membantu siasatan laporan dibuat pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata, pihaknya sudah menerima arahan bagi menyiasat kes itu.
Setakat ini, hanya satu laporan dibuat Ebit di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, semalam.
"Kita sudah merakam keterangan Ebit Lew dan akan merekodkan keterangan daripada Caprice dan wanita Indonesia itu dalam tempoh terdekat.
"Ia adalah prosedur bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Semalam, Ebit tampil membuat laporan polis terhadap dakwaan berlaku fitnah melampau dilemparkan terhadapnya berhubung seorang wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah bebas terkenal dari Malaysia.