Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rusuhan ganas meletus di Batam (video)


BATAM: Perhimpunan aman bertukar ganas di luar salah sebuah bangunan pemerintah di Batam, Indonesia, menyusuli satu bantahan terhadap kerja pembangunan Rempang Eco City pada Isnin.

Dipercayai terdapat kecederaan yang dilaporkan, namun tiada perangkaan rasmi diberikan oleh pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan dikatakan melontar batu dan bom molotov ke arah pegawai pihak berkuasa, lapor media tempatan.


Menurut laman sesawang Antara News, penunjuk perasaan tidak berpuas hati terhadap kerja membangunkan Rempang Eco City yang terletak di Pulau Rempang sekitar 2.5 kilometer (km) ke tenggara Pulau Batam.

Bantahan berlaku di bangunan Badan Pengusahaan Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam), terletak berhampiran dengan Batam Center, yang terkenal sebagai pelabuhan feri termasuk dari Malaysia dan Singapura.

Dilaporkan, penunjuk perasaan memulakan bantahan secara aman, namun secara tiba-tiba menjadi ganas dan mereka mula memecahkan pagar.

Beberapa video dimuat naik di media sosial menunjukkan ribuan warga kelihatan berhimpun di luar bangunan pejabat itu termasuk beberapa penunjuk perasaan yang kelihatan menyuarakan bantahan dari atas lori.

Video lain pula menunjukkan penunjuk perasaan melontar batu dan kayu ke arah pegawai bertugas serta merobohkan pagar di luar bangunan berkenaan.

Pihak berkuasa juga kelihatan melepaskan gas pemedih mata dan semburan air untuk meredakan keadaan serta menyuraikan penunjuk perasaan, yang difahamkan berkumpul sejak beberapa hari lalu. 

- AGENSI

video: