Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tokyo arahkan China keluarkan boya yang dikesan di ZEE Jepun


TOKYO: Jepun menyuruh Beijing mengeluarkan boya China yang terapung di perairan dalam zon ekonomi eksklusifnya (ZEE), kata seorang pegawai semalam, merujuk kepada kawasan yang terletak berhampiran pulau dituntut oleh kedua-dua negara.

"Kami membuat bantahan di Tokyo dan Beijing sejak pengawal pantai Jepun menemui boya pada Julai lalu di ZEE Jepun di Laut China Timur," kata seorang pegawai kementerian luar kepada AFP.


Boya itu dikesan di perairan berhampiran sekumpulan pulau yang dikenali Jepun sebagai Senkakus sementara China mengenalinya sebagai Diaoyu.

"Kami menuntut supaya boya itu dikeluarkan segera kerana meletakkan struktur di ZEE Jepun tanpa mendapat persetujuan adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata pegawai itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Menurut pegawai itu, China meletakkan pelampung di ZEE Jepun di kawasan sama di Laut China Timur pada 2018.

Perkara itu menambahkan permusuhan antara kedua-dua negara, berikutan hubungan China-Jepun merosot sejak Tokyo membebaskan air sisa terawat dari loji nuklear Fukushima pada 24 Ogos lalu.

Beijing bertindak balas dengan larangan menyeluruh terhadap semua import makanan laut dari Jepun.

Eksport makanan Jepun ke China jatuh 41.2 peratus pada Jun kepada 14 bilion yen (RM445.27 bilion), menurut data Kementerian Kewangan yang dikeluarkan semalam.

Pada Ogos lalu, Tokyo menuntut China memastikan keselamatan rakyat negaranya selepas batu bata dilempar ke arah kedutaannya di Beijing.

Ia juga menggesa puluhan ribu warga jepun di China supaya jangan terlalu menonjol selain meningkatkan keselamatan di sekitar sekolah dan misi diplomatik.

Menurut agensi berita Kyodo Japan, ibu pejabat Jepun di Beijing menerima lebih 400,000 gangguan panggilan telefon sejak pelepasan sisa terawat itu, namun pegawai di Kementerian Luar tidak dapat mengesahkan jumlah itu kepada AFP.

"Bagaimanapun, pejabat diplomatik kami memang menerima banyak panggilan berbentuk gangguan sejak kebelakangan ini," kata pegawai itu. - AFP