Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Beijing berusaha ganggu projek kapal selam nuklear Australia -ketua MI5


China sedang berusaha "mengganggu" projek untuk membantu Australia membina armada kapal selam berkuasa nuklear, kata ketua Perkhidmatan Keselamatan British.

Beijing telah menjadikannya "keutamaan tinggi" untuk mencuri harta intelek yang terlibat dalam perkongsian AUKUS, Pengarah MI5, Ken McCallum memberitahu wartawan pada persidangan 
keselamatan di California, lapor Telegraph pada hari Jumaat.


Perkongsian AUKUS — sebuah perjanjian di antara Australia, UK, dan AS untuk berkongsi teknologi ketenteraan, contohnya seperti kapal selam berkuasa nuklear — ditubuhkan pada tahun 2021 "untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Pasifik," kata akhbar 
tersebut, menambah bahawa agensi perisik Cina telah mencuba menyusup ke AUKUS dan mencuri rahsianya sejak penubuhan (AUKUS).


 "Jika anda melihat reaksi awam ketika kerjasama AUKUS diumumkan, anda boleh menyimpulkan bahawa mereka [Beijing] tidak berpuas hati dan dengan perkara anda tahu berkenaan dengan cara perisikan dan gangguan China berlaku, adalah tidak salah untuk mengandaikan bahawa mereka akan menjadikannya keutamaan tinggi untuk memahami apa yang berlaku di dalam AUKUS dan mencuba mengganggunya jika mereka [China] mampu," kata McCallum.

Kenyataannya itu juga adalah lanjutan daripada kebimbangan yang disuarakan oleh Tentera Laut Diraja British bahawa birokrasi AS telah menangguhkan perkongsian teknologi, kata Telegraph.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin (汪文斌) berkata pada bulan Mac bahawa kerjasama [AUKUS] itu "hanya memburukkan keadaan khususnya dalam aspek perlumbaan senjata, merosakkan rejim antarabangsa yang terlibat dengan perjanjian pengawalan senjata (nuclear nonproliferation) serta merosakkan keamanan dan kestabilan rantau."

Dia berkata ketiga-tiga negara tersebut, "demi kepentingan geopolitik mereka sendiri, telah mengabaikan sepenuhnya kebimbangan komuniti antarabangsa dan telah mengikuti laluan yang 
salah dan berbahaya."

McCallum pada minggu lalu berkata bahawa dianggarkan 20,000 warganegara Britain telah didekati oleh pihak-pihak tertentu (yang dipercayai mewakili negara China) menerusi LinkedIn dengan matlamat untuk mencuri rahsia industri atau teknologi

Pengintipan industri berlaku pada "skala sebenar," katanya, dengan menambah bahawa sekitar 10,000 perniagaan British berisiko, terutamanya dalam kecerdasan buatan, pengiraan kuantum atau biologi sintetik, di mana China cuba mengintai peluang dan kelebihan [untuk mencuri 
rahsia].

"Minggu demi minggu, pasukan kami mengesan jumlah besar aktiviti sulit oleh negara bukan sahaja China khususnya, tetapi juga Russia dan Iran," katanya sebelum persidangan yang dianjurkan oleh FBI bersama ketua-ketua perisik dari negara-negara kerjasama Five Eyes iaitu 
Australia, Kanada, New Zealand, UK, dan AS.

"Pengintipan tersebut bukan hanya ditujukan pada rahsia kerajaan atau ketenteraan. Bukan sahaja ditujukan pada infrastruktur kritikal kita tetapi semakin banyak [pada] syarikat permulaan 
yang menjanjikan — syarikat-syarikat inovatif hasil daripada universiti kita, penyelidikan akademik dan orang-orang yang mungkin tidak fikir keselamatan berkait dengan mereka," 
katanya.

Vektor serangan utama, kata McCallum, adalah untuk mencuba dan mencuri maklumat melalui pihak-pihak tertentu daripada China yang berpura-pura sebagai perunding pengambilan di 
LinkedIn.

"Telah wujud lebih daripada 20,000 kes di mana pendekatan awal telah dibuat secara dalam talian melalui laman-laman web seperti itu," katanya, berbanding dengan 10,000 dua tahun yang 
lalu.

Kebimbangan mengenai pengintipan industri China telah meningkat dengan dramatik sepanjang sedekad yang lalu, khususnya di AS.

Pengarah FBI, Christopher Wray menggambarkan Parti Komunis China sebagai "ancaman No. 1 kepada inovasi," dengan menambah bahawa Beijing telah menjadikan "pengintipan ekonomi 
serta mencuri kerja dan idea orang lain sebagai komponen utama strategi kebangsaannya."

Dia berkata dia menjalankan "lebih daripada kira-kira 2,000 penyiasatan" yang berkaitan dengan aktiviti [pengintipan] China, dan agensinya telah membuka fail kes baru "kira-kira setiap 12 
jam.

McCallum tidak memberikan sebarang angka sebenar untuk MI5, tetapi agensi tersebut sebelumnya mengatakan kes China telah meningkat tujuh kali ganda dalam tempoh empat tahun.