Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hasrat rakan artis melihat Sabri Yunus, Angelina Tan berkahwin tercapai


Kuala Lumpur: Hasrat rakan-rakan untuk melihat pelakon sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus dan Angeline Tan mendirikan rumah tangga akhirnya menjadi kenyataan.

Pasangan yang terkenal dengan watak sebagai Wan Ismail Golok dan Lucy dalam sitkom komedi itu selamat diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup di Kangar, Perlis pagi tadi.


Hadir meraikan detik bahagia itu, pengacara Issey Fazlisham berkata, majlis pernikahan pasangan selebriti itu antara yang dinanti-nantikan oleh rakan terdekat.

"Ia berita gembira yang membahagiakan semua orang hari ini. Selepas pemergian isteri abang Sabri pada 16 tahun lalu, dia berjaya membesarkan tiga anaknya dengan berjaya.

"Saya dan rakan-rakan rapat abang Sabri memang mengetahui hubungan mereka. Malah kami juga tahu yang anak-anak abang Sabri rapat dengan Angeline.

"Jadi kami selalu mendoakan agar Angeline terbuka hati memeluk Islam dan menjadi isteri abang Sabri. Tak sangka, hubungan mereka menjadi semakin serius dan akhirnya menjadi kenyataan, Alhamdulillah," katanya.

Menurut Issey, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan pasangan itu sehingga ke akhir hayat.

"Semoga ikatan perkahwinan ini akan terus berkekalan dan ini adalah permulaan baru untuk Abang Sabri mendidik Angeline yang kini bergelar mualaf," katanya.

Terdahulu Sabri mengesahkan selamat bergelar suami kepada Angeline dengan sekali lafaz dalam satu majlis tertutup di Kangar, Perlis.

Pasangan itu dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

-HarianMetro