Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kebangkitan semula Huawei, dan masa Jepun untuk bersinar


Cheng Ting-Fang di dalam temubual bersama eksekutif teknologi serta pengurus dana dari China, mengupas tentang impian rakyat China dan masa depan China di Jepun.

Huawei : Cita-cita dan impian yang masih belum selesai

Di dalam mengejar dominasi global, gergasi teknologi China Huawei ingin merebut kembali sebahagian besar pasaran telefon pintar domestiknya dan pada masa yang sama, mengembalikan reputasi mereka sebagai kebanggaan nasional negara China.


Pernah merangkul takhta pengeluar telefon pintar terbesar kedua di dunia, firma itu telah berbulan-bulan berusaha untuk mengumpulkan dan mempertingkat stok komponen, di dalam usaha untuk menggandakan pembuatan dan penghantaran telefon pintarnya hingga mencapai sehingga 70 juta unit menjelang tahun 2024.

 Syarikat ini telah memesan lebih banyak lensa dan papan litar cetak daripada yang diperlukan, dan juga telah meminta Qualcomm dari Amerika Syarikat (AS) - satu-satunya pembekal cip mudah alih 4G firma berkenaan untuk menghantar kesemua cip yang dipesannya menjelang Jun, kerana khuatir akan sebarang tindakan keras dari Washington yang terkini.

Pada masa yang sama, Huawei juga telah berjaya memperoleh beberapa cip mudah alih 5G terkini dari industri tempatan China.

 Semiconductor Manufacturing International Co. (SMIC) sudahpun bersedia; membeli dan memasang kelengkapan pembuatan bagi cip 14 nanometer dan 7 nanometer sejak tahun 2018 dan 2019, berbulan sebelum AS dan sekutunya mula mengehadkan eksport alat-alat pembuatan cip.

 SMIC merupakan salah sebuah pengeluar cip utama China dan juga pembekal utama kepada Huawei.

Walau bagaimanapun, rancangan Huawei untuk kembali mendominasi telefon pintar masih berhadapan rintangan yang besar, kerana AS merancang untuk memperluaskan lagi kawalan eksportnya yang sudahpun menyeluruh ke atas alat pembuatan cip dan cip kecerdasan buatan (AI). 

Ramai penggubal dasar AS yang telah mendesak Washington untuk menarik balik pengecualian dan lesen yang diberikan kepada Huawei dan pengeluar cip China seperti SMIC secara sepenuhnya.

Sementara AS bersungguh untuk mengambil tindakan yang lebih keras, Eropah sebaliknya sedang bergelut untuk mengurangkan kebergantungannya kepada China dan teknologi China. 

Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara ahli individu telah mengambil beberapa langkah strategic dalam hal ini, termasuklah menghalang Huawei dan ZTE daripada infrastruktur 5G yang penting dan juga mengkaji semula penggunaan subsidi kenderaan elektrik oleh China. 

Namun begitu, kebergantungan perdagangan yang tinggi dengan China akan menyukarkan sebarang langkah "modifikasi risiko" dari pihak EU.

Terperangkap di Antara Kepentingan AS-China

Walaubagaimanapun, di sebalik rantau Timur Tengah sedang menjadi tumpuan kehangatan dan ketegangan yang sedang meningkat antara AS dan China; pelopor dan institusi sains utama di Arab Saudi sedang giat bekerjasama dengan universiti-universiti China dalam pembangunan kecerdasan pintar (AI).

Profesor Jinchao Xu, seorang ahli matematik berbangsa Amerika-Cina di Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah Arab Saudi (KAUST), telah melancarkan AceGPT, model bahasa besar yang berfokus dalam Bahasa Arab, dengan kerjasama Universiti Hong Kong, Shenzhen, dan Institut Penyelidikan Big Data Shenzhen.

 Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk membina teknologi AI yang terkini, termasuk komputer super untuk pembangunan LLM, teknologi yang memacu sistem AI generatif seperti ChatGPT. 

Walau bagaimanapun, terdapat kegusaran bahawa kerjasama Arab-China ini dapat menghalang akses KAUST kepada cip buatan Amerika yang diperlukan bagi menggerakkan teknologi baru ini.

Washington telah memperluas keperluan lesen eksport untuk unit pemprosesan grafik yang dikeluarkan oleh Nvidia dan AMD untuk mengawal akses entiti ; namun pentadbiran Biden tidak menyekat eksport berkenaan ke Timur Tengah. 

Ini membuka ruang serta membolehkan kumpulan China di sana untuk memajukan pembangunan AI di institusi-institusi tempatan. 

Seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menyimpan hasrat untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang AI.

 Pertanyaannya adalah sama ada Riyadh dan Abu Dhabi boleh membangunkan hubungan perdagangan yang cukup baik dengan China untuk melibatkan pemindahan teknologi sedemikian, tanpa menegangkan hubungan sedia ada dengan Washington, rakan keselamatan utama mereka.

"Ramai yang terlibat telah mengutarakan kebimbangan mereka kepada pihak atasan mengenai hubungan rapat dengan China boleh membahayakan komputer super. Mereka tidak mahu menimbulkan ketegangan dengan kerajaan AS." kata salah seorang individu yang mengetahui perkara tersebut di KAUST. 

Bila Raja Lipstik menjadi permasalahan negara

Apabila Raja Lipstik China, Austin Li Jiaqi, mengkritik penontonnya semasa sedang ‘live’ kerana "tidak bekerja dengan cukup keras" untuk mampu membeli sebatang pensel kening berharga $11, jelas bahawa dia telah menyentuh denyut nadi  golongan belia negara tersebut, yang ramai di antaranya sedang berdepan kesukaran mencari pekerjaan di dalam ekonomi pasca-pandemik.

Episod tersebut juga turut merungkai hubungan kompleks Li dengan Alibaba Group Holding, gergasi e-dagang yang telah menaikkan kemahsyuran dan pesona Li sebagai seorang bintang. 

Li terkenal sebagai wajah awam Taobao Live, platform penjualan langsung ‘live’ yang dimiliki oleh Alibaba. 

Gergasi berkenaan tidak mahu kehilangan pengaruh besar seperti Li, tetapi kebergantungan Taobao kepada beberapa orang bintang juga mempunyai risikonya, seperti yang dipamerkan oleh tindakan terkini beliau. 

Dan ini bukanlah kali pertama – Li turut menghilangkan diri selama beberapa bulan pada tahun lalu sebagai protest kepada penindasan Lapangan Tiananmen, suatu subjek yang tidak dibincangkan awam di negara China.

Walaupun dengan "Raja Lipstik" China di platformnya, Taobao Live kini kelihatan tidak dapat bersaing dengan Douyin, yang dimiliki oleh ByteDance, dan Kuaishou.

 Kedua-dua pesaing baru ini menghasilkan lebih banyak penjualan melalui perdagangan langsung daripada Taobao Live, walaupun Alibaba tetap menjadi peneraju e-dagang China secara keseluruhan.

Masanya untuk Bersinar?

Matawang Yen Jepun baru-baru ini merosot seketika; melebihi 150 berbanding dolar dan telah berada dalam julat 149 pada minggu ini.

 Kedudukan mata wang yang semakin lemah ini boleh menjejaskan kuasa membeli pengguna tempatan serta sektor runcit Jepun, kerana ia turut meningkatkan kos import, namun ia memberi faedah kepada hampir semua sektor perniagaan lain, dari automobil dan semikonduktor hingga bank dan tenaga. 

Bagi kebanyakan syarikat Jepun yang berdagang secara global, yen yang lemah adalah baik untuk mereka, kerana ia meningkatkan nilai pendapatan luar negara apabila ia dikembalikan, ujar penganalisa dan pakar ekonomi.

 Prestasi jualan yang lebih baik pula membantu meningkatkan pasaran saham dan meningkatkan keyakinan pelabur, dan akhirnya boleh menyumbang kepada pendapatan gaji yang lebih baik bagi masa akan datang. 

Data dari kajian perniagaan Tankan suku tahunan Bank of Japan menunjukkan sentimen di kalangan syarikat terbesar Jepun berada pada tahap yang tertinggi dalam sejarah.

Terdapat pelbagai petanda lain yang turut menunjukkan minat di dalam sektor teknologi Jepun. CEO Blackrock, Larry Fink, baru-baru ini mendedahkan bahawa pengurus aset terbesar di dunia itu berminat untuk melabur dalam sektor tenaga bersih dan teknologi hijau Jepun.

Dan di peringkat domestik, Fujitsu baru-baru ini telah pun memperkenalkan komputer kuantum pertama yang dibangunkan secara swasta di Jepun.

Laporan asal dari FT dan Nikkei Asia