Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin mohon pasport, bawa keluarga bercuti di London kerana tertekan


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga di luar negara.

Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden BERSATU, berkata ia adalah suatu kebiasaan di mana beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.


Bekas Perdana Menteri itu berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama kerana dirinya dan keluarga amat tertekan pada tahun ini.

"Saya difahamkan daripada ejen pelancongan bahawa adalah sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan dan mengaturkan perjalanan percutian untuk jumlah orang yang ramai secara sekali gus ke London terutama berdekatan dengan Krismas dan Tahun Baharu.

"Oleh demikian, langkah berjaga-jaga diambil untuk menempah tiket penerbangan bagi saya dan isteri terlebih dahulu sebelum ahli keluarga lain.

"Saya berharap mahkamah akan membenarkan pemohonan supaya boleh meluangkan masa dengan ahli keluarga dalam percutian tahunan," katanya menerusi afidavit sokongan difailkan firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company, Isnin lalu.

Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Pengerusi PN itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan bahawa beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan di Mahkamah Sesyen adalah tidak berasas kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau percaya bahawa Hospital Mount Elizabeth ada teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas 'treadmill' atau pengisar injakan.

"Ujian stres jantung memerlukan saya untuk berjalan atau berlari di mesin berkenaan, sesuatu yang amat sukar.

"Beberapa tahun lalu, saya menjalani ujian stres jantung tanpa 'treadmill' di Klinik Mayo di Amerika Syarikat (AS).

"Saya dinasihatkan oleh doktor bahawa Hospital Mount Elizabeth ada rawatan dan peralatan diagnostik seperti mana yang saya lakukan di Klinik Mayo, oleh itu saya berniat ke Singapura," katanya.

Muhyiddin menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

"Oleh itu, saya ada tanggungjawab untuk menjalankan tugas memenuhi keperluan kawasan Parlimen dari semasa ke semasa.

"Saya juga perlu menghadiri sesi Parlimen jika bersidang, selain ada ahli keluarga dan aset di Malaysia," katanya.