Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Negara rugi RM505 juta vaksin Covid-19 luput tarikh


KUALA LUMPUR – Kerajaan mengalami kerugian RM505 juta selepas baki 8.5 juta dos vaksin Covid-19 luput tarikh pada 15 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu disebabkan sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah khususnya kepada dos penggalak.

“Punca lebihan vaksin adalah kerana sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah (khususnya dos penggalak) disebabkan pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela serta takut kepada kesan sampingan vaksin ekoran penyebaran maklumat tidak benar.


“Penerimaan bekalan vaksin di mana vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi,” jelas PAC.

Mas Ermieyati berkata, jumlah simpanan stok bagi boot cover pada 9 Jun 2023 ialah 2.23 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga akhir tahun 2025 berdasarkan kadar penggunaan semasa.

Namun, terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM927,000 jika tidak dapat digunakan.

“Manakala, jumlah simpanan stok bagi protective suit/coverall pada 9 Jun 2023 ialah 0.64 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga pertengahan tahun 2026 berdasarkan kadar penggunaan semasa. Kesemua stok dijangka dapat digunakan sebelum luput tarikh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan atas 104 penghawa dingin yang tidak berfungsi yang dibeli untuk pesakit Covid-19.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, ia menyatakan perkara ini berlaku disebabkan tiada perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan dan pembekal Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB).

“Tiada kontrak digubal antara KKM dan PLSB mengenai perolehan ventilator dan Penasihat Undang-undang KKM tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

“PLSB tidak menandatangani sebarang kontrak dengan pembekal serta memaklumkan kepada PAC bahawa semua dokumen pesanan pembelian dan dokumen sebut harga menunjukkan bahawa waranti ventilator adalah antara Kerajaan Malaysia dan pembekal.

“PLSB hanya bertindak menguruskan penghantaran ventilator ke fasiliti KKM dan membantu KKM menghubungi pengilang untuk menggunakan waranti ventilator yang tidak dapat digunakan,” kata PAC dalam laporannya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada waranti semasa pembelian ventilator oleh PLSB dan waranti hanya diberikan oleh PLSB untuk ventilator yang dinaik taraf susulan daripada Mesyuarat Rundingan Harga Perolehan Darurat yang diadakan pada 1 September 2020.

“PAC mendapati terdapat percanggahan keterangan antara KKM dan PLSB berkaitan kewujudan waranti kesemua 136 unit ventilator,” katanya. – MalaysiaGazette