Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wan Saiful didakwa 18 pertuduhan gubah wang haram RM5.59 juta, berdepan penjara 15 tahun


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU,  Wan Saiful Wan Jan, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah.

"Tidak bersalah dan mohon dibicarakan (bagi pertuduhan berkenaan)," katanya  sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.


Semua 18 pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613]).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau  mana lebih tinggi.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful minta dibicarakan atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pertuduhan pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai dan 30 September tahun lalu.

Dia dituduh meminta rasuah daripada individu bernama Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" daripada kerajaan persekutuan.

Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

Pertuduhan kedua - Wan Saiful didakwa menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Wan Saiful juga dituduh memindahkah RM78,800 perolehan haram melalui WSA Advisory Group bagi tujuan pembelian Ford Ranger pada 12 Ogos 2022.

Tiga belas pertuduhan lain melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM2.31 juta pula berkaitan dengan pemindahan hasil haram yang didakwa dari akaun syarikat ke syarikat, organisasi, dan individu lain.

Tiga bayaran dibuat antara 22 Ogos dan 5 Oktober tahun lepas kepada Jendela Timur Consultant (RM400,000), Duckling Management & Services (RM300,000) dan Fendi Dilif Resources (RM400,000).

Bayaran seterusnya dibuat antara 10 Oktober hingga 7 November 2022.

Penerimanya seperti berikut:

  • Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara (RM36,550

  • Majlis Sukan Negara (RM180,000)

  • PYI Global Trading (RM120,000)

  • Jejak Global Enterprise (RM425,650)

  • Fokus Malaysia Studios (RM176,380)

  • Chin Kang Hardware Jitra (RM88,000)

  • Syed Jaafar Syed Abd Aziz (RM33,521)

  • Sinar Karangkraf Sdn Bhd (RM38,160)

  • Akademi Gagasan Minda Merdeka (RM100,000)

  • Good Square Sdn Bhd (RM46,487.85)

Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan dengan alasan dakwaan yang dikemukakan ke atasnya adalah cacat tetapi ditolak mahkamah.

Jana Wibawa atau “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program perangsang untuk kontraktor bumiputera susulan Covid-19.

Ia diperkenalkan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin pada November 2020.

Bernama - Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang sebelum ini didakwa atas kesalahan rasuah berhubung projek Jana Wibawa, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, tahun lepas.

Wan Saiful, 48, yang bersut hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan," kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dalam keadaan tenang.

Wan Saiful berdepan 13 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.6 juta dan lima pertuduhan menggunakan wang haram berjumlah RM3.9 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful sebagai Pengarah Syarikat WA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun Public Bank Berhad milik Syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd sebagai bayaran bagi pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger.

Beliau juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari akaun CIMB Bank milik Syarikat WSA Advisory Group ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (RM291,564.96) dan Malayan Banking Berhad (RM49,000) milik tertuduh; Bank Rakyat milik Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara (RM36,550) dan RM180,000 dibayar kepada Majlis Sukan Negara Malaysia.

Wang hasil aktiviti haram itu turut dipindahkan ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik PYI Global Trading (RM120,000) dan Jejak Global Enterprise (RM425,650); akaun Ambank Berhad milik Fokus Malaysia Studios (RM176,380); akaun Maybank Islamic Berhad milik Chin Kang Hardware Jitra (RM88,000); akaun CIMB Bank Berhad milik seorang lelaki (RM33,521); akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd (RM38,160); akaun Maybank Islamic Berhad milik Akademi Gagasan Minda Merdeka (RM100,000) dan akaun Hong Leong Bank milik Good Square Sdn Bhd (RM46,487.85).

Wan Saiful juga didakwa atas lima pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram menerusi empat keping cek CIMB Bank Berhad, masing-masing bernilai RM2.3 juta dan RM530,471.46 milik syarikat tertuduh ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya; sekeping cek bernilai RM400,000 dibayar kepada Syarikat Jendela Timur Consultant dan dua keping cek masing-masing bernilai RM300,000 dan RM400,000 dibayar kepada Duckling Managament & Services dan Fendi Dilif Resources.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan supaya mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin bagi kes predikat (rasuah) yang dihadapi Wan Saiful di Mahkamah Sesyen Jenayah 8.

Beliau berkata tertuduh sebelum ini turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

"Oleh itu, pendakwaan mohon agar mahkamah ini mengguna pakai jaminan bagi kes predikat berserta syarat tambahan dan pihak kami juga mohon supaya kes di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 8 untuk dibicarakan bersama. Kes predikat ditetapkan untuk sebutan pada 1 Dis ini," katanya dan menambah pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful mengesahkan pihaknya tidak membantah cadangan pendakwaan.

Hakim Suzana membenarkan permohonan mengenai jaminan dan syarat tambahan serta memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah 8 untuk dibicarakan bersama.

Pada 21 Feb lepas, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Saiful berkata beliau akan membersihkan namanya kerana yakin tidak melakukan kesalahan.