KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN) Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.
Sokongan terbuka itu dinyatakan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman sosial rasminya sebentar tadi.
Mohd. Azizi berkata, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang akan terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.
“Perkara tersebut sebagaimana yang di pohon mohon untuk di laksanakan di Parlimen saya (Gua Musang) dalam tempoh penggal perkhidmatan.
“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan
mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan
datang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu memberitahu, sejujurnya beliau tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Bersatu.
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan persekutuan.
“Adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Anwar.
“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama
berdoa semoga Allah sentiasa memberkati bumi bertuah ini (Gua Musang) dan
kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket Pas berjaya menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama 10 penggal dari Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.
Mohd. Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi untuk menewaskan Ku Li.
Mohd. Azizi memperoleh undian sebanyak 21, 826 manakala Ku Li yang juga Ketua UMNO Gua Musang hanya mendapat undi 21, 663.
Sementara itu, calon Asharun Uji (Pakatan Harapan) sebanyak 4, 517 undian dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) dengan 371 undi.
-UTUSAN