Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bukit Aman siasat pemilik Tik Tok, tawar RM5 juta bunuh PM


Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan berhubung perkara terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Beliau berkata maklumat lanjut mengenai laporan kes terbabit akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik. Bagaimana pun, video tersebut sudah dipadamkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, wakil AMK cabang Putrajaya telah membuat laporan berhubung video ugutan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada jam 1.43 tengah hari tadi.

"Video dimuat naik di aplikasi TikTok oleh akaun Jaiadani89 itu telah membuat ugutan terhadap Perdana Menteri iaitu menawarkan habuan RM5 juta kepada sesiapa yang membunuh beliau," katanya dalam sidang media di luar Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Muhammad Kamil menggesa polis untuk segera menjalankan siasatan lanjut dan bertindak tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab itu yang dilihat boleh mengganggu gugat keselamatan serta keharmonian.

Beliau juga khuatir sekiranya perkara itu dibiarkan lebih ramai individu tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya membuat kenyataan menghasut orang awam untuk membuat ancaman bunuh dan mencetuskan budaya ekstremis.