Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Fahmi Fadzil cari Wan Azri, iklan notis saman dalam surat khabar


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengiklankan notis saman terhadap seorang penyokong pembangkang, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, tindakan itu susulan blogger tersebut tidak dapat dihubungi oleh pihaknya sejak beberapa bulan lalu.


Beliau memaklumkan telah mendapat kebenaran mahkamah pada 6 November lalu supaya notis saman tersebut diserahkan secara penyampaian ganti.

“Peguam saya telah cuba untuk hubungi individu bernama Wan Muhammad Azri sejak beberapa bulan lalu. Ini berkait kenyataan fitnah yang dibuat individu tersebut terhadap saya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

“Oleh sebab surat saman ini tidak dapat diserah tangan kepada beliau, Mahkamah telah memutuskan pada 6 November 2023 supaya peguam saya menyerahkan pemakluman secara penyampaian ganti (‘substituted service’).

“Oleh itu, hari ini, notis tersebut telah diterbit dalam surat khabar The Star,” katanya.

Saman tersebut dipercayai berkaitan kenyataan fitnah dibuat Papagomo yang mendakwa Fahmi menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya.

Kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos.

Pihak Majlis Agama Islam Selangor sebelum ini mengesahkan Fahmi sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Fahmi diwakili Tetuan Asheeq Ali & Company.

“Ambil perhatian bahawa suatu tindakan telah dimulakan terhadap kamu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mahkamah Tinggi telah memerintahkan bahawa penyampaian Writ Saman bertarikh 05.09.2023 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 05.09.2023 (‘dokumen-dokumen tersebut’) hendaklah dilaksanakan dengan cara penampalan sesalinan dokumen-dokumen tersebut bersama Perintah bertarikh 06.11.2023 bagi penyampaian ganti pada papan kenyataan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan alamat terakhir kamu.

“Melalui penerbitan notis ini sekali sahaja dalam satu surat khabar tempatan dalam Bahasa Inggeris iaitu surat khabar ‘The Star’ melalui iklan ini dan melalui WhatsApp kepada nombor terakhir kamu, bahawa penyampaian itu hendaklah menjadi penyampaian yang sempurna dan cukup akan Writ Saman itu terhadap kamu bahawa penyampaian dianggap dilaksana pada hari terakhir pengiklanan tersebut,” demikian menurut notis yang diiklankan.