Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hanya remaja lahir tahun 2007 akan dipanggil ke PLKN -Tok Mat


Kuala Lumpur: Hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sekiranya ia dilaksanakan tahun hadapan.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, pelatih program itu akan dipilih mengikut tahun kelahiran dan ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.


"Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga berusia 35 tahun.

"Mindef turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN3.0," katanya.

Terdahulu, Mindef memaklumkan dalam kenyataan itu bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah baharu selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan membabitkan dua fasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Mohamad dilaporkan berkata, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.