Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Harakah diberi 48 jam tarik artikel fitnah


PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memberi tempoh 48 jam kepada Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan portal, Harakahdaily untuk menarik semula artikel yang didakwa memfitnahnya.

Tuntutan tersebut dikemukakan Fadhlina dalam satu surat tuntutan (LOD) yang dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Ibrahim & Fuaadah, semalam.


Ia adalah berkaitan satu artikel disiarkan Harakahdaily bertajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir di Sekolah?” yang diterbitkan pada 6 November lalu.

Artikel terbabit didakwa berbaur fitnah terhadapnya kononnya ada arahan Menteri Pendidikan supaya takbir dan bacaan doa Qunut Nazilah tidak dibenarkan ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menuntut Zulkifli dan Harakahdaily dalam tempoh 48 jam daripada penerimaan surat terbabit, untuk menyiarkan penarikan balik artikel itu dalam semua platform mereka dan memohon maaf tanpa syarat seperti diluluskan peguam.

Kedua-dua mereka juga dituntut memberikan aku janji dan jaminan bertulis untuk tidak akan menyiarkan dan menyebarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Fadhlina, serta membayar ganti rugi RM500,000 bagi kecederaan terhadap reputasi dan nama baik menteri terbabit atau berdepan tindakan undang-undang.

Berdasarkan surat LOD tersebut, Fadhlina menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan atau dirinya sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan untuk membuat bacaan Qunut Nazilah atau takbir bagi sambutan Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh Malaysia.

“Ia adalah terserah kepada guru di sekolah berkenaan untuk menentukan cara yang terbaik bagi sambutan kerana Kementerian Pendidikan percaya bahawa hanya guru lebih mengenali dan memahami latar belakang sekolah masing-masing.

“Anak guam kami seterusnya menyatakan bahawa kenyataan berkenaan menjatuhkan reputasi beliau dan nama baik Kementerian Pendidikan Malaysia pada pandangan seluruh rakyat Malaysia yang mana beliau disifatkan sebagai seorang penipu yang tidak jujur dalam beragama, membuat keputusan yang berbolak-balik dan tidak boleh dipercayai kerana tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Anak guam kami secara jelas juga dilabel sebagai ‘munafik’ yang dapat difahami dalam kalangan orang Islam sebagai seorang yang disebut fasik atau ‘jahat di dalam Al-Quran kerana berpura-pura menunjukkan keimanan,” kata surat itu. 

– UTUSAN