Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes 1MDB: Saksi polis akui Najib disiasat selepas didakwa


Seorang pegawai polis hari ini mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak tidak memberikan kerjasama semasa disoal siasat pada 2018.

Foo Wei Min ketika memberi keterangan berkata Najib hanya menjawab "Saya hanya akan jawab di mahkamah" apabila ditanya mengenai lima transaksi yang didakwa dikaitkan dengan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion.


Lima cek tersebut melibatkan transaksi pada 2013, iaitu: cek bernilai RM20 juta yang ditunaikan ke akaun Umno pada 2 Ogos; cek RM100,000 yang masuk ke akaun Umno Batu Kawan pada 7 Ogos; cek RM246,000 yang masuk ke akaun ahli perniagaan Lim Soon Peng pada 7 Ogos, cek RM2 juta yang masuk ke syarikat Orb Solutions Sdn Bhd pada 12 Ogos; dan cek RM303,000 yang ditunaikan ke syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd pada 14 Ogos.

Bagaimanapun, tempoh soal siasat yang dilakukan Foo terhadap Najib pada 3 Okt 2018 menjadi isu yang dibangkitkan peguam.

Sambil disaksikan Najib dari kandang tertuduh, Foo bersetuju dengan peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah bahawa soal siasat itu berlaku selepas tertuduh didakwa di mahkamah pada 20 Sept tahun yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrance Sequerah menyaksikan Shafee berang dengan jawapan Foo kerana soal siasat itu dilakukan selepas Najib didakwa di mahkamah.

Peguam itu berkata, tertuduh boleh memberi penjelasan berhubung isu yang dikaitkan dengan lima cek yang didakwa melibatkan dana daripada aktiviti haram tersebut.

Foo bagaimanapun menegaskan apabila dia bertanya kepada Najib semasa merakam keterangannya pada 3 Okt 2018, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berulang kali mengatakan bahawa dia telah didakwa dan akan menjawab di mahkamah berhubung dakwaan bahawa RM2.08 bilion dana daripada 1MDB masuk ke akaun bank tertuduh pada 2013.

Najib sebelum ini mendakwa jumlah RM2.08 bilion (AS$681 juta dalam kadar pertukaran pada 2013) tersebut adalah derma daripada kerabat diraja Arab, dan dia telah memulangkan sebanyak AS$620 juta daripada dana tersebut.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung petang ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

-Malaysiakini