Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Makcik Kemboja, anak tampil mohon maaf


JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd., yang didakwa menghina rakyat negara ini, khususnya kaum Melayu hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaakob, 49, mendakwa video yang tular itu dibuat untuk meningkat motivasi kepada masyarakat. 


“Tujuan saya memanggil semua media untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Bagi pihak saya, Mariyah Yaakob dan pihak syarikat memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh bangsa Melayu atas kekhilafan dan keterlanjuran kata-kata saya.

“Sejujurnya jauh di sudut hati saya nak menghina mana-mana bangsa, 100 peratus (video di TikTok) dibuat sebagai motivasi,” katanya dalam sidang akhbar di Skudai, di sini hari ini.

Ditanya tentang dakwaan pihak syarikat tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) bagi para pekerjanya, Mariyah enggan mengulas isu tersebut.

Sebaliknya, wanita itu meminta supaya individu terbabit (bekas pekerja) tampil membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Saya rasa tidak menjawab soalan itu, sebab apa sebab saya ada management (pengurusan) yang menguruskan KWSP, Socso (Perkeso) dan kalau benar pihak Mariyah Holdings tidak membayar, dia orang (mereka) boleh tujukan aduan mereka kepada JTK, itu lebih arif,” katanya.

Mariyah turut enggan mengulas tentang dakwaan menggaji pekerja asing tanpa permit oleh syarikatnya.

Dalam pada itu, anaknya, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 22, turut mengakui kekhilafan berhubung isu yang sedang melanda.

Dia yang merupakan Pengarah Syarikat Mariyah Holding mengakui video yang dibuatnya adalah ditujukan kepada bekas pekerja syarikat itu.

“Saya dengan rendah hati dan terbuka memohon ampun, maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu.

“Sekiranya video dimuat naik oleh saya itu adalah perbalahan saya dengan bekas pekerja yang telah timbulkan lebih banyak spekulasi dan lebih banyak fitnah, saya mohon maaf banyak-banyak,” katanya.

Ezuan Hafsham turut berjanji akan bertindak lebih matang pada masa akan datang dan berharap perkara ini boleh dihentikan. 

– UTUSAN