MIC hari ini meluluskan resolusi agar perdana menteri Anwar Ibrahim membawa isu pengampunan dan pembebasan bekas Perdana Menteri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong.
Resolusi itu dikemukakan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan semasa ucapan penggulungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-77 parti itu di Maeps, Serdang hari ini.
"MIC akan tetap menghargai jasa Najib yang banyak membantu pembangunan kaum India di negara ini.
"Sebagai tanda penghargaan, MIC hari ini membawa resolusi meminta kerajaan memberi pengampunan Diraja kepada Najib dengan segera," katanya.
Lebih 1,500 delegasi yang hadir ke mesyuarat itu kemudian sebulat suara menyokong resolusi tersebut.
Sebelum ini Badan perhubungan MIC negeri yang selesai mengadakan persidangan perwakilan sejak 13 Oktober lalu mengusulkan resolusi yang sama.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah berhubung kes SRC International dibebaskan
Pada 31 Mac lalu, bekas presiden Umno itu gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman.
MIC merupakan parti politik kedua selepas Umno yang meminta perdana menteri mengemukakan pengampunan terhadap Najib kepada Yang di-Pertuan Agong.
Umno juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani kesemua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Seri Paduka Baginda.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berkata proses pengampunan untuk Najib tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
Jawatan presiden, timbalan tak dipertandingkan
Terdahulu, mesyuarat agung hari ini turut sebulat suara menyokong resolusi tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti.
Resolusi tersebut sekali gus menyaksikan Saravanan dan presidennya SA Vigneswaran tidak akan dicabar pada pemilihan yang akan diadakan pada tahun depan.
Mesyuarat tahunan itu turut membuat beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti.
Antaranya, menambahkan borang pencalonan bagi jawatan timbalan presiden kepada 250 daripada 100 pencalonan sebelum ini.