Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pendapatan rakyat Kedah, Kelantan terendah di Malaysia


DUA Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pendapatan kasar isi rumah tertinggi di Malaysia pada 2022 manakala Kelantan dan Kedah merekodkan pendapatan terendah.

Menurut Jabatan Perangkaan, warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai penengah pendapatan kasar isi rumah sebanyak RM10,234 dan purata RM13,325 manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan penengah RM10,056 dan purata RM13,473.


Pendapatan kasar isi rumah ketiga tertinggi pula merupakan Selangor dengan penengah RM9,983 dan purata RM12,233.

Rakyat Kelantan pula mencatatkan pendapatan kasar isi rumah terendah dengan penengah RM3,614 dan purata RM4,885 diikuti Kedah (penengah: RM4,402, purata: RM5,550) serta Perak (penengah: RM4,494, purata: RM5,779).

Penengah pendapatan kasar isi rumah untuk Malaysia ialah RM6,338 dan puratanya RM8,479. Terdapat 10 negeri yang mencatatkan penengah lebih rendah berbanding keseluruhan Malaysia, iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Baki enam negeri, iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penengah yang lebih tinggi.

Pendapatan boleh guna isi rumah

Berbeza dengan pendapatan kasar, pendapatan boleh guna merujuk kepada pendapatan sebenar individu atau isi rumah yang boleh dibelanjakan setelah ditolak semua potongan wajib.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan penengah pendapatan boleh guna isi rumah di Malaysia adalah sebanyak RM5,413 manakala puratanya sebanyak RM7,111.

Terdapat enam negeri yang melepasi penengah pendapatan boleh guna isi rumah Malaysia, iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Penengah tertinggi pendapatan boleh guna isi rumah adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan penengah RM8,869 dan purata RM11,277. Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (penengah: RM8,259, purata: RM10,540) dan Selangor (penengah: RM8,187, purata: RM10,008).

Pendapatan boleh guna isi rumah terendah pula direkodkan di Kelantan dengan penengah RM3,156 dan purata RM4,320 diikuti Perak (penengah: RM3,804, purata: RM4,920) dan Kedah (penengah: RM3,821, purata: RM4,815).

Pekali Gini

Selain meneliti angka pendapatan, penting juga kita melihat data ketidaksamarataan yang ada di setiap negeri-negeri.

Menurut Laporan Ketidaksamarataan Pendapatan oleh Jabatan Perangkaan, negeri Sabah mencatatkan ketidaksamarataan tertinggi dengan nilai Pekali Gini sebanyak 0.395 untuk pendapatan kasar (PK) dan 0.387 untuk pendapatan boleh guna (PBG).

Pekali Gini merupakan kaedah ukuran ketidaksamarataan yang mengukur ketidaksamarataan dalam julat nilai 0 hingga 1. Semakin tinggi nilainya, semakin besar jurang ketidaksamarataan yang berlaku.

Negeri-negeri lain yang mencatatkan nilai Pekali Gini tinggi termasuk Kelantan (PK: 0.385, PBG: 0.393); Sarawak (PK: 0.382, PBG: 0.379) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PK: 0,380, 0.369).

Negeri yang mencatatkan nilai Pekali Gini terendah pula merupakan Wilayah Persekutuan Labuan dengan nilai 0.300 untuk kedua-dua PK dan PBG. Ini diikuti Pahang (PK: 0.308, PBG: 0.305) dan Terengganu (PK: 0.326, PBG: 0.322).

Pekali Gini mengikut strata pula menunjukkan kadar ketidaksamarataan yang lebih tinggi di kawasan bandar dengan nilai 0.393 untuk PK dan 0.382 untuk PBG, berbanding 0.351 (PK) dan 0.353 (PBG) di kawasan luar bandar.

Dari segi etnik, kaum Cina mencatatkan Pekali Gini tertinggi, iaitu 0,412 untuk PK dan 0.398 untuk PBG. Ini diikuti kaum India (PK: 0.406, PBG: 0.396) dan Melayu (PK: 0.387, PBG: 0.379).

Nilai Pekali Gini keseluruhan untuk Malaysia ialah 0.404 untuk PK dan 0.393 untuk PBG. –Utusan