GAZA - Pengarah Hospital Al-Wafa dan Rumah Penjagaan Warga Emas di Bandaraya Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel pada Jumaat malam, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.
Sumber tempatan berkata, pesawat pejuang tentera pencerobohan Israel menyasarkan hospital itu, menyebabkan pengarahnya, Midhad Mhaisen terbunuh dan beberapa doktor cedera.
WAFA melaporkan bahawa pesawat pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan ganas dari udara ke atas beberapa kawasan di utara Semenanjung Gaza yang dikepung.
Sumber tempatan berkata serangan menyasarkan beberapa kawasan di kem pelarian Jabalia, rumah orang awam di Beit Lahia, sekitar menara kediaman di Kota Sheikh Zayed Gaza dan sekitar hospital Indonesia.
Serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-43 pada Sabtu dengan angka terkini menunjukkan lebih 12,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 lagi cedera.
- Bernama