Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peningkatan penyakit pernafasan, China dakwa tiada patogen luar biasa dikesan



GENEVA: China melaporkan tiada patogen luar biasa atau baharu dikesan dalam peningkatan penyakit pernafasan kanak-kanak di utara, selepas mendapat tekanan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Sejak pertengahan Oktober 2023, WHO memantau data daripada sistem pengawasan China yang menunjukkan terdapat peningkatan penyakit pernafasan pada kanak-kanak di wilayah berkenaan.


Rabu lalu, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu mengumumkan ia membuat permintaan rasmi kepada Beijing untuk mendapatkan lebih banyak data, tetapi China enggan memberi maklum balas.

Menurut WHO, ia mengadakan telesidang semalam dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China dan Hospital Kanak-Kanak Beijing, yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Pentadbiran Kebangsaan Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

“Pihak berkuasa China menyatakan tiada pengesanan sebarang patogen luar biasa atau baru atau persembahan klinikal yang luar biasa, termasuk di Beijing dan Liaoning, tetapi hanya peningkatan umum yang disebutkan dalam penyakit pernafasan akibat pelbagai patogen yang diketahui.

“Mereka seterusnya menyatakan bahawa peningkatan penyakit pernafasan tidak menyebabkan beban pesakit melebihi kapasiti hospital.

“WHO memantau dengan teliti keadaan dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa negara di China. WHO akan terus menyediakan kemas kini seperti yang dibenarkan,” menurut WHO dalam satu kenyataan.

Organisasi itu mengesyorkan bahawa orang di China mengikuti langkah-langkah untuk mengurangkan risiko penyakit pernafasan.

Ini termasuk vaksin yang disyorkan terhadap selesema, Covid-19 dan patogen pernafasan lain; menjaga jarak dari orang yang sakit; tinggal di rumah apabila sakit; mendapatkan ujian dan rawatan perubatan seperti yang diperlukan dan memakai pelitup muka mengikut kesesuaian.

“WHO tidak mengesyorkan sebarang langkah khusus untuk pelancong ke China,” katanya.

Bulan depan masuk tahun keempat sejak pandemik Covid-19 di Wuhan, China, pertama kali dilaporkan. 

– AFP