Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tujuh lagi Ahli Parlimen PN akan sokong Anwar


Pemerhati politik memberi amaran bahawa kegagalan Perikatan Nasional (PN) dalam mendapatkan peruntukan yang sama rata untuk Ahli Parlimen boleh menyebabkan lebih banyak wakil, terutamanya dari Bersatu, mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, menyatakan pimpinan perlu menghadapi realiti dan menangani krisis lebih besar iaitu kehilangan kepercayaan Ahli Parlimen mereka.

Tujuh lagi ahli parlimen pembangkang bakal nyatakan sokongan kepada kerajaan berbanding fokus mereka pada media sosial dengan mencipta naratif kononnya boleh menumbangkan kerajaan sebelum PRU16.

“Salah satu cara terbaik (untuk menghentikan tindakan mengalih sokongan) adalah membuka pintu rundingan dan bersedia untuk bertolak ansur. Ianya sebaiknya dilakukan. Saya tidak faham mengapa PN enggan berunding dengan kerajaan sedangkan kerajaan sedia untuk berunding,” katanya kepada FMT.

“Jika perkara ini tidak ditangani dengan pantas, tidak hairanlah jika lebih banyak lagi akan mengalih sokongan.”

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, baru-baru ini mengumumkan sokongannya kepada Anwar kerana kecewa PN tidak bersedia berunding untuk mendapatkan peruntukan bagi wakil rakyat pembangkang.

Beliau menyatakan bahawa beliau tidak mendapat ugutan atau tekanan dari mana-mana pihak dalam membuat keputusan tersebut yang diumumkan secara terbuka di Dewan Rakyat.

Tindakan Syed Abu Hussin Hafiz mengikuti langkah Azizi Abu Naim (Gua Musang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zahari Kechik (Jeli) yang juga menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan, demi kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Pada 3 November lalu, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, mengesahkan bahawa gabungan itu tidak meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan yang sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang, dengan alasan diminta untuk memberikan jaminan tertentu.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara juga setuju bahawa peralihan sokongan tersebut berkait dengan krisis kepimpinan yang dihadapi oleh Bersatu, bukannya disebabkan simpati terhadap nasib pengundi mereka.

“Permasalahannya ialah kepimpinan Bersatu yang hilang arah tuju. Faktor peruntukan itu hanya untuk menutup supaya tidak digelar Ahli Parlimen yang berpaling tadah kepada parti,” katanya.

“Ia tidak akan terhenti dengan Bukit Gantang, mungkin ada satu dua lagi (yang sokong Anwar), terutamanya apabila Muhyiddin Yassin menyatakan kesanggupan untuk mempertahankan jawatan presiden.”

Jeniri juga menyatakan, “Perhimpunan Bersatu tempoh hari sepatutnya meyakinkan ahli tetapi dengan lebih banyak wakil rakyat menyokong kerajaan, ia memberi gambaran bahawa ketidakyakinan berterusan dalam Bersatu dan sekaligus memberi tamparan hebat kepada Muhyiddin.”