Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ada bukti pima facie kes amang seks PU Azman terhadap remaja lelaki -Mahkamah


Klang: Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, tahun lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu terhadap Azman Syah, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

"Selepas mendengar dan meneliti saksi pendakwaan dan semua bukti dan serta meneliti hujahan pendakwaan, mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas tuduhan pertama dan tuduhan kedua.


"Oleh yang demikian tertuduh diarah untuk membela diri," katanya dalam penghakiman ringkasnya.

Dalam prosiding hari ini, Syafeera menerangkan pilihan yang diberikan, pendakwah itu secara tenang memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan memberi keterangan secara bersumpah.

"Saya memilih keterangan bersumpah dari kandang saksi," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Syafeera kemudian menetap 12 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamridan Nurul Izzati Mohamad manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Azman Syah turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.