Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Akta Anti-Ali Baba hukum individu sewakan lesen niaga kepada warga asing


Undang-undang yang dicadangkan bagi menamatkan perniagaan Ali Baba boleh digunakan terhadap mereka yang didapati menyalahgunakan lesen perniagaan untuk dijual kepada warga asing di pusat-pusat bandar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian ketika menjawab kenyataan seorang pengguna X yang menyuarakan kebimbangan mengenai kelemahan undang-undang hingga menyebabkan warga asing mengambil manfaat daripada subsidi kerajaan yang sepatutnya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

"Akta Anti-Ali Baba akan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang meng-Ali Baba-kan lesen dan lain-lain kepada syarikat asing tanpa menepati syarat-syarat," katanya di laman X.


Rafizi berkata, sejak puluhan tahun lepas pergantungan kepada pekerja asing menyebabkan mereka "menguasai" sektor-sektor tertentu disebabkan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja di sektor terbabit.

"Isu ini isu negara, bukan isu pendatang asing.

"Ia bermula dengan pergantungan kita pada pekerja asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita tak nak buat dah kerja dalam industri tertentu.

"Yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun lepas.

“Bila pekerja asing dah ramai, orang kita pula pergi sewakan dan bagi lesen dengan cara Ali Baba untuk mereka buat perniagaan,” katanya.

Pada 21 Dis lalu, seramai 1,101 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen menerusi operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan di Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, operasi itu dikendalikan 1,138 anggota termasuk daripada Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Pasukan Simpanan Persekutuan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Rafizi berkata langkah sedang diambil bagi melakukan reformasi pasaran kerja menerusi pelaksanaan gaji progresif, latihan dalam industri, dan memuktamadkan sistem levi di pelbagai peringkat untuk menurunkan jumlah pekerja asing.

"Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030 (Dalam Rancangan Malaysia Ke-13

"Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

“Tetapi seperti pean saya kepada majikan dan industri -Ini sedang berlaku kerana kita tidak lagi mampu meneruskannya," kata Rafizi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Julai lalu berkata kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menamatkan perniagaan 'Ali Baba' memandangkan amalan itu memberi kesan negatif kepada ekonomi, menyebabkan kira-kira satu peratus kerugian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pada masa itu, Anwar berkata tugas menggubal dasar dan perundangan untuk menghapuskan amalan perniagaan “Ali Baba” akan diketuai oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara.